PHNOM PENH: Rangkaian makanan segera Malaysia, Marrybrown, membuka cawangan pertamanya di Kemboja dengan sasaran menyediakan hidangan pada harga berpatutan sambil menyokong produk tempatan.
Cawangan di ibu negara itu menambah jumlah restoran Marrybrown kepada lebih 500 buah di hampir 16 negara sejak cawangan pertama dibuka di Johor Bahru pada 1981.

Menurut Bernama, pemegang francais induk Marrybrown bagi Kemboja, Teh Chui Hoon, memaklumkan Bernama bahawa syarikat itu menyasarkan produk berkualiti pada harga mampu milik untuk semua pelanggan ketika majlis prapelancaran pada Sabtu.
Selain ayam goreng rangup dan burger yang menjadi hidangan istimewa, menu di cawangan Boeung Kak, daerah Toul Kork itu turut menyediakan nasi ayam, nasi goreng dan bubur ayam bagi memenuhi cita rasa masyarakat Kemboja.
Teh menjelaskan bahawa 70 peratus produk datang daripada pembekal tempatan dan pembekal halal, manakala restoran itu kini mempunyai 20 pekerja tempatan dan Teh yakin rangkaian itu mampu bersaing walaupun ekonomi Kemboja lebih perlahan, perbelanjaan pengguna semakin lemah dan pasaran dikuasai jenama global.



