KOTA SAMARAHAN: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Samarahan menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung menerusi pelbagai perkhidmatan dan inisiatif kerajaan yang disediakan sepanjang program berlangsung.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, setakat hari ini, program berkenaan telah menerima antara 5,000 hingga 6,000 pengunjung dan jumlah itu dijangka terus meningkat.
“Sambutan menggalakkan ini menunjukkan program SKS menjadi platform penting untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat selain memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat secara terus mengenai inisiatif dan bantuan yang ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis praperasmian Program SKS Bahagian Samarahan di Halaman Samarahan, di sini, hari ini.
Katanya lagi, pengunjung terdiri daripada pelbagai peringkat umur dengan masing-masing mempunyai keperluan dan kepentingan tersendiri.
“Golongan muda lebih tertarik kepada peluang pendidikan, tajaan dan pekerjaan, manakala golongan berusia pula memberi perhatian kepada perkhidmatan kebajikan serta sosial yang disediakan kerajaan,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Mohamad Abu Bakar memberitahu, program berkenaan turut memberi ruang kepada rakyat untuk berinteraksi secara langsung dengan pegawai kerajaan, sekali gus mendapatkan penjelasan lebih tepat mengenai pelbagai inisiatif yang disediakan.
Beliau menjelaskan, hasil tinjauannya ke beberapa kaunter perkhidmatan mendapati pengunjung mengambil peluang bertemu pegawai agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat dan penjelasan berkaitan keperluan masing-masing.
Mengulas jangkaan kehadiran pengunjung pada hari kedua esok yang jatuh pada hari bekerja, beliau berkata, keadaan itu tidak dijangka menjejaskan jumlah kehadiran.
Sebaliknya, beliau percaya orang ramai tetap akan mengambil peluang berkunjung kerana waktu pejabat membolehkan mereka mendapatkan maklumat dan penyelesaian secara terus daripada pegawai berkaitan.


