ARTIKEL

Abdul Rahman berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan DUN Pantai Damai. Foto: Ramidi Subari

362 surat hak milik tanah diserah kepada 338 penerima Pantai Damai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penyerahan surat hak milik tanah bukan sekadar penyempurnaan urusan pentadbiran kerajaan, sebaliknya satu pengiktirafan terhadap hak masyarakat serta jaminan pemilikan tanah kepada keluarga yang sekian lama menantikannya.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Islam, Kemajuan Wilayah dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pengiktirafan itu turut memberi peluang kepada penerima merancang masa depan keluarga serta mewariskan aset bernilai kepada generasi akan datang.

Beliau berkata, sebanyak 362 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak diserahkan kepada 338 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.

“Penyerahan surat hak milik tanah pada hari ini bukan sekadar penyerahan sekeping dokumen ataupun penyempurnaan urusan pentadbiran kerajaan. Sebaliknya, ia merupakan satu pengiktirafan terhadap hak masyarakat, satu kepastian terhadap pemilikan tanah dan juga satu khabar gembira yang membawa makna besar kepada keluarga kita yang sekian lama menantikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan DUN Pantai Damai yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan Jamilah, Yayasan Sarawak, di sini hari ini.

Penyerahan itu melibatkan Program Pengukuran Tanah NCR, Program Pengukuran Kampung Tradisional serta kawasan Pembangunan Darul Hana.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 128 surat hak milik diserahkan kepada 109 penerima di Sungai Lumut dan Buntal.

Sementara itu, sebanyak 157 surat hak milik diserahkan kepada 152 penerima bagi Program Pengukuran Kampung Tradisional yang melibatkan Kampung Pasir Pandak, Kampung Pasir Panjang dan Kampung Temedak.

Selain itu, sebanyak 77 surat hak milik diserahkan kepada 77 penerima bagi kawasan Pembangunan Darul Hana.

Abdul Rahman yang juga penyandang DUN Pantai Damai berkata, isu pemilikan tanah kekal menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan para ketua masyarakat dalam seminar kepimpinan KMKK yang dianjurkan di kawasan DUN Pantai Damai setiap tahun.

Menurutnya, permohonan yang dikemukakan oleh ketua masyarakat, penghulu dan penduduk kampung kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak akhirnya direalisasikan menerusi penyerahan hak milik berkenaan.

Beliau berkata, tanah bukan sekadar melibatkan sempadan, keluasan atau dokumen pemilikan, sebaliknya mempunyai nilai lebih besar sebagai tempat membina kehidupan, sumber rezeki keluarga dan warisan kepada generasi akan datang.

Sehubungan itu, beliau berharap penerima memanfaatkan tanah yang diiktiraf itu dengan sebaik-baiknya untuk meningkatkan ekonomi serta kesejahteraan keluarga.

“Janganlah kita melihat tanah ini sekadar sebagai satu aset yang dimiliki, tetapi lihatlah tanah ini sebagai satu amanah dan ruang untuk kita membina kehidupan keluarga yang lebih baik serta bekalan kepada generasi anak dan cucu kita,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat supaya terus memberikan kerjasama dan sokongan terhadap dasar serta program pembangunan Kerajaan Sarawak bagi memastikan kemajuan dapat dinikmati secara menyeluruh.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Dakwaan pembangkang berkenaan isu NCR tidak berasas

KUCHING: Isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang terus dibangkitkan pihak pembangkang setiap kali pilihan raya disifatkan tidak berasas kerana Kerajaan Sarawak sudah melaksanakan usaha