KUCHING: Keputusan Barisan Nasional (BN) dan beberapa parti lain yang menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 disifatkan dapat membantu mengekalkan kestabilan politik.
Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, keputusan untuk bertanding atau sebaliknya ialah hak setiap parti dan perlu dihormati.
Katanya, beliau juga menghargai keputusan BN yang sejak dahulu tidak bertanding di Sarawak serta parti lain yang mengambil pendirian sama.
“Itu hak mereka. Apa pun, saya mengucapkan terima kasih kepada BN yang dari dahulu memang tidak bertanding di Sarawak, begitu juga parti-parti lain yang tidak bertanding.
“Ini akan memastikan satu kestabilan politik. Kedua, demokrasi juga sebenarnya hidup di Malaysia ini. Tetapi, hak merekalah hendak bertanding atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran “Juh Melabur, Anak Sarawak” di ASNB Kuching, di sini, hari ini.
Semalam (21 November), pada sidang media sempena Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian 2026, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan GPS menyambut baik keputusan parti politik dari Semenanjung Malaysia, iaitu BN dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang menyatakan pendirian untuk tidak bertanding pada PRU Sarawak Ke-13 ini.
Namun, Pengerusi GPS itu turut memberitahu, gabungan tersebut sentiasa bersiap sedia menentang siapa sahaja.
“Kalau mereka tidak bertanding, kita ucap terima kasih. Tetapi kalau mereka bertanding, kita lawan,” ujarnya.
BN sebelum ini mengumumkan tidak akan meletakkan calon di mana-mana kerusi DUN Sarawak, selaras dengan persefahaman antara UMNO dengan PBB, seperti diumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 15 November lalu.
Pada 19 November, PAS pula mengesahkan keputusan tidak meletakkan calon pada PRU Sarawak Ke-13 selepas mengambil kira perkembangan politik semasa dan beberapa faktor lain, menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Dalam perkembangan berkaitan, pada 21 November pula, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu, turut memutuskan tidak bertanding pada PRU Sarawak bagi memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
PRU Sarawak Ke-13 menyaksikan 82 kerusi DUN dipertandingkan, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember.



