BINTANGOR: Pendekatan turun padang secara bersemuka lebih berkesan dalam memahami keperluan penduduk sekali gus membantu memudahkan usaha menyelesaikan pelbagai masalah di peringkat akar umbi.
Penyandang Kerusi DUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pertemuan secara langsung dengan penduduk membolehkan beliau mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai isu yang berlaku, selain mengenal pasti tindakan yang boleh diambil bagi membantu menyelesaikannya.
Pendekatan itu, katanya, membuka ruang kepadanya untuk menyampaikan pandangan, aduan dan cadangan tanpa perlu melalui saluran yang panjang.
“Apabila turun bertemu rakyat, saya dapat mendengar sendiri masalah yang mereka hadapi dan memahami keperluan sebenar masyarakat di kawasan ini.
“Ini penting supaya perkara yang dibangkitkan dapat diberi perhatian sewajarnya dan tindakan susulan boleh dirancang mengikut keutamaan,” katanya ketika ditemui pada Program Mobile Service To U di Perumahan Cina, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bintangor berkata, program itu mencerminkan komitmen parti untuk terus mendekati masyarakat melalui aktiviti yang memberi ruang kepada interaksi secara lebih terbuka.
“Secara tidak langsung, ia menjalinkan komunikasi dua hala yang berterusan di samping memastikan isu berkaitan kebajikan dan kemudahan masyarakat tidak terlepas pandang,” katanya.
Beliau menambah, program itu bukan sekadar kunjungan biasa, sebaliknya menjadi medan untuk mengetahui keadaan semasa penduduk serta mendapatkan maklum balas secara terus daripada mereka.
“Kita akan terus mempergiat pendekatan turun padang bagi memastikan suara rakyat dapat didengar dan setiap isu yang memerlukan perhatian dapat dikenal pasti untuk tindakan selanjutnya,” katanya.



