KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki cedera selepas kereta Proton Saga yang dipandunya terbabit dalam kemalangan kendiri di Jalan Datuk Mohammad Musa awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.12 pagi itu, mangsa didapati masih berada di tempat duduk pemandu ketika anggota bomba tiba di lokasi kejadian di hadapan sebuah bengkel.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, seramai tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dikerahkan ke lokasi bersama sebuah jentera FRT dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Menurutnya, sebaik tiba pada jam 2.34 pagi, anggota Unit EMRS memasang kolar serviks pada mangsa sebagai langkah awal untuk mengurangkan risiko kecederaan pada bahagian leher.

Mangsa yang tidak tersepit kemudian dikeluarkan menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada anggota EMRS untuk dibawa ke Hospital Jantung Samarahan bagi mendapatkan rawatan.
Operasi dikawal pada jam 2.47 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.05 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi untuk membantu urusan berkaitan.




