KUCHING: Sarawak mencipta sejarah apabila dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Pickleball Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) 2026 yang julung kali dianjurkan di Grand Rally, Shah Alam, Selangor, semalam.
Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Terbuka MAKSAK Sarawak, Razif Hiri berkata, kejayaan itu hasil komitmen, disiplin dan semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan pemain sepanjang kejohanan.
“Syukur alhamdulillah atas kejuaraan pada tahun ini dan semangat pasukan yang tidak pernah luntur sepanjang pertandingan.
“Semoga tahun hadapan kita dapat mengekalkan prestasi yang sama,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Kejayaan Sarawak diterajui gandingan Danny Lee Sheng Yee dan Muhammad Sufri Kasuadi kendalian Razif, yang menjuarai kategori beregu lelaki terbuka selepas menewaskan wakil Majlis Sukan Angkatan Tentera 21-11 pada aksi akhir.
Gandingan Elmy Muliani Ajaib Jamahari dan Elisa Mising Udup @ Misu kendalian Azmi Usup turut menyumbang gelaran juara dalam kategori beregu wanita veteran selepas menundukkan MAKSAK Wilayah Persekutuan (MAKSWIP) 21-10.
Sementara itu, pasangan Cassandra Hazel Mijilit dan Siti Hajijah Putit di bawah bimbingan Mohamad Ishak Setu terpaksa akur dengan gelaran naib juara beregu wanita terbuka selepas tewas tipis 20-22 kepada MAKSWIP.
Dua lagi pencapaian disumbangkan gandingan Muhammad Randie Abdullah dan Mohammad Zaini Hiri kendalian Nazarudin Haji Abdul Latip, yang menduduki tempat ketiga kategori beregu lelaki veteran.
Pasangan Suhardie Sulaiman dan Su Lee Lee di bawah bimbingan Wan Affiezul Wan Afendi turut meraih tempat ketiga dalam kategori beregu campuran.
Kejayaan menempatkan wakil dalam kelompok tiga terbaik bagi kesemua lima kategori membolehkan Sarawak mengungguli kedudukan keseluruhan kejohanan, diikuti MAKSAK Johor sebagai naib juara dan MAKSWIP di tempat ketiga.
Kejohanan berkenaan menghimpunkan 130 pemain daripada 13 kontinjen yang berentap dalam lima kategori, dengan saingan setiap kategori dibahagikan kepada empat kumpulan.
Kesemua pemenang menerima piala dan pingat sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian masing-masing pada edisi sulung kejohanan pickleball berkenaan.
Untuk rekod, MAKSAK ialah karnival sukan dan kebudayaan tahunan peringkat kebangsaan yang menghimpunkan penjawat awam menerusi pelbagai acara di negeri berlainan sepanjang tahun.
Dalam pada itu, kontinjen MAKSAK Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Sarawak atas doa dan sokongan sepanjang kejohanan yang membolehkan mereka membawa pulang gelaran juara keseluruhan.


