KUCHING: Kuching City FC perlu meningkatkan ketajaman penyudah menjelang pertemuan penting menentang Phnom Penh Crown FC dalam saingan Liga Juara-Juara Dua AFC (ACL2), Khamis ini.
Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, berkata aspek itu menjadi antara keutamaan dalam persiapan skuad The Cats selepas beberapa peluang keemasan gagal dimanfaatkan ketika menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 Jumaat lalu.

“Kita sebenarnya boleh menjaringkan empat atau lima gol dalam perlawanan itu. Ketajaman penyudah antara aspek yang masih perlu ditingkatkan.
“Namun, saya tidak menyalahkan pemain kerana mereka bekerja keras dan menunjukkan keinginan untuk menang. Sekiranya peluang yang dicipta dimanfaatkan dengan lebih baik, kita mampu menjaringkan lebih banyak gol,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.
Kemenangan itu membolehkan The Cats mengumpul 15 mata hasil lima kemenangan dan dua kekalahan serta menduduki tangga ketiga Liga Super, sekali gus menjadi suntikan motivasi menjelang saingan ACL2.
Selain meningkatkan ketajaman penyudah, Aidil mahu anak buahnya mengekalkan konsistensi pertahanan selepas mencatat rekod tanpa bolos dalam tiga perlawanan berturut-turut.
Beliau turut memuji penjaga gol Haziq Nadzli yang bukan sahaja mempamerkan peningkatan prestasi, malah berjaya menyelamatkan sepakan penalti ketika menentang Negeri Sembilan.
“Haziq beraksi dengan cemerlang. Jurulatih penjaga gol turut memainkan peranan dengan menganalisis prestasinya dan mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.
“Namun, bukan Haziq sahaja, malah James Okwuosa, Yuki Tanigawa, Ariff Farhan dan Declan Lambert turut mempamerkan aksi cemerlang. Bertahan secara kolektif antara faktor yang sentiasa saya puji,” jelasnya.
Dari segi kecergasan pemain, Aidil berharap kecederaan buku lali yang dialami Safawi akibat terjahan dari belakang tidak serius, manakala Ryan Lambert tetap menunjukkan komitmen untuk beraksi meskipun kurang sihat.
Kuching City dijadual menerima kunjungan Phnom Penh Crown FC dalam aksi kelima Kumpulan H ACL2 di Stadium Taha Ariffin, Kuching, pada 26 November ini, jam 6 petang.
The Cats kini menduduki tangga ketiga kumpulan dengan empat mata, di belakang Phnom Penh Crown FC yang mengumpul sembilan mata dan Kitchee SC yang memiliki lima mata, manakala Gangwon FC berada di tangga keempat dengan empat mata.
Selepas tewas 1-2 kepada wakil Kemboja itu pada pertemuan pertama, Kuching City perlu memburu kemenangan bagi memperkukuh peluang mara ke pusingan 16 terbaik sebelum menutup saingan kumpulan menentang Kitchee SC di Hong Kong pada 3 Disember.
“Kita perlu memastikan pemain mendapat pemulihan secukupnya sebelum kembali berkumpul dan menganalisis aspek yang perlu diperbaiki sebagai persediaan menentang Phnom Penh.
“Ini perlawanan di laman sendiri dan saya berharap penyokong terus berada di belakang pasukan untuk menyuntik semangat kepada pemain kerana ini satu lagi perlawanan yang perlu kita menangi,” tegas Aidil.




