KUCHING: Isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang terus dibangkitkan pihak pembangkang setiap kali pilihan raya disifatkan tidak berasas kerana Kerajaan Sarawak sudah melaksanakan usaha pengiktirafan dan pengukuran sejak sekian lama.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dakwaan sedemikian memberi persepsi seolah-olah kerajaan tidak mengiktiraf mahupun mengukur tanah NCR.

Katanya, kerajaan sudah melaksanakan usaha pengiktirafan serta pengukuran tanah adat Bumiputera sejak 1960-an berdasarkan bukti sahih mengikut peruntukan undang-undang, malah melaksanakan pelbagai kaedah pengukuran bagi mempercepatkan proses berkenaan.
“Setiap pilihan raya macam-macamlah. Isu NCR diulang-ulang seolah-olah kerajaan kita tidak melaksanakan sesuatu berhubung dengan tanah NCR.
“Kerajaan kita ini senantiasa mengiktiraf tanah adat bumiputera asalkan ianya ada bukti. Bukti yang sah, yang sahih mengikut perundangan. Pengiktirafan ini bukan hanya kita buat pada hari kelmarin. Sejak daripada tahun 60-an lagi. Bukan sahaja mengiktiraf, tetapi kita menjalankan kerja-kerja penyukatan sejak daripada tahun 60-an lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai di Dewan Jamilah, Yayasan Sarawak di sini hari ini.
Menurutnya, sejak pelaksanaan inisiatif baharu pengukuran tanah NCR pada 2010 hingga Oktober tahun ini, kerajaan berjaya mengukur kira-kira 1.25 juta hektar tanah di seluruh Sarawak, manakala hampir 980,000 hektar daripada jumlah itu sudah diwartakan.
Katanya, pencapaian itu membuktikan usaha pengukuran dan pengiktirafan tanah adat Bumiputera terus dilaksanakan, sekali gus menafikan dakwaan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan berhubung perkara berkenaan.
Beliau berkata, sebelum pelaksanaan inisiatif baharu itu, kerajaan hanya berjaya menyukat kira-kira 260,000 hektar tanah serta mengeluarkan surat hak milik dalam tempoh lebih lima dekad sejak 1960-an hingga 2010.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 362 Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak diserahkan kepada 338 penerima di kawasan DUN N.4 Pantai Damai.
Penyerahan itu melibatkan kawasan Sungai Lumut dan Buntal, program pengukuran kampung tradisional serta kawasan pembangunan Darul Hana.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 128 surat hak milik diserahkan kepada 109 penerima di Sungai Lumut dan Buntal, manakala 157 surat hak milik lagi diserahkan kepada 152 penerima menerusi Program Pengukuran Kampung Tradisional.
Bagi kawasan pembangunan Darul Hana pula, sebanyak 77 surat hak milik diserahkan kepada 77 penerima.
Awang Tengah berkata, kerajaan akan meneruskan program pengukuran tanah NCR dan kampung tradisional selagi diperlukan rakyat bagi memastikan lebih ramai masyarakat Bumiputera mendapat pengiktirafan terhadap pemilikan tanah mereka.


