ARTIKEL

UPMS bimbing wanita Bintulu jana pendapatan menerusi Golden Melon

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Usaha memindahkan ilmu dan kepakaran akademik kepada masyarakat menjadi antara pendekatan Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Ts. Dr. Shiamala Devi Ramaiya, dalam memperkasa ekonomi wanita menerusi projek penanaman Golden Melon bernilai tinggi di Bintulu.

Menerusi projek PUTRA@Bintulu: Pemerkasaan Wanita melalui Penanaman Golden Melon Bernilai Tinggi ke Arah Kelestarian dan Keterjaminan Makanan, beliau membimbing 15 peserta Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Bintulu-Tatau menguasai teknik pertanian moden serta meneroka peluang keusahawanan berasaskan hasil tanaman.

Dr. Shiamala memberi penerangan ringkas mengenai tanaman Golden Melon kepada penyandang kerusi DUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.

Dr. Shiamala, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMS, berkata projek komuniti itu bukan sekadar aktiviti pengembangan pertanian, sebaliknya menjadi platform untuk mengaplikasikan kepakaran dan hasil penyelidikan universiti secara langsung kepada masyarakat.

Menurutnya, matlamat utama projek berkenaan ialah memastikan peserta bukan sahaja memahami teknik penanaman Golden Melon, malah mempunyai kemahiran dan keyakinan untuk menguruskan tanaman secara berdikari.

“Sebagai pensyarah dan penyelidik, projek ini memberikan peluang kepada saya untuk menterjemah ilmu, kepakaran dan hasil penyelidikan kepada aplikasi sebenar bersama komuniti.

“Matlamat kami bukan sekadar mengajar peserta menanam Golden Melon, tetapi membimbing mereka sehingga mempunyai pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk mengurus tanaman secara berdikari serta meneroka peluang keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat mengenai PUTRA@Bintulu: Pemerkasaan Wanita melalui Penanaman Golden Melon Bernilai Tinggi ke Arah Kelestarian dan Keterjaminan Makanan di sini pada Ahad.

Projek yang bermula pada Julai 2026 itu mendapat pembiayaan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) dan melibatkan 15 wanita dengan pelbagai latar belakang termasuk suri rumah, pesara serta pengusaha kecil.

Sepanjang pelaksanaan projek, Dr. Shiamala bersama pasukan UPMS memberikan latihan secara berperingkat meliputi penyediaan media tanaman, penyemaian benih, penanaman, sistem pengairan titis, pembajaan, pengurusan perosak dan penyakit, cantasan, pendebungaan, pemilihan buah serta pengendalian lepas tuai.

Sebanyak 300 pokok Golden Melon ditanam di kawasan projek PPWS Bintulu menggunakan sistem pengairan titis automatik bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air dan pengurusan tanaman.

Peserta turut didedahkan kepada penghasilan baja organik seperti kompos, Organic Plant Booster (OPB) dan baja kulit telur, selain kaedah kawalan perosak secara bersepadu menggunakan perangkap pelekat kuning serta semburan berasaskan minyak neem.

Menurut Dr. Shiamala, antara kepuasan terbesar sepanjang pelaksanaan projek itu ialah melihat perubahan positif peserta yang pada awalnya hanya bergantung kepada bimbingan tenaga pengajar kini menjadi individu yang mampu menguruskan tanaman sendiri.

Katanya lagi, peserta kini lebih berkemahiran melaksanakan aktiviti pembajaan, cantasan, pendebungaan dan penjagaan tanaman hasil latihan secara praktikal yang diberikan.

“Apa yang paling menggembirakan saya ialah melihat perubahan dalam diri peserta. Pada awalnya, mereka banyak bergantung kepada bimbingan kami.

“Namun kini, mereka mampu melaksanakan pembajaan, cantasan, pendebungaan dan penjagaan tanaman secara kendiri.

“Bagi saya, ini membuktikan bahawa ilmu yang dipindahkan bukan sekadar diterima semasa latihan, tetapi benar-benar diaplikasikan dalam pengurusan tanaman,” tambahnya.

Pendekatan bimbingan itu turut melangkaui aspek pengeluaran hasil apabila peserta diperkenalkan kepada pembangunan produk nilai tambah bagi meningkatkan potensi ekonomi Golden Melon.

Antara produk yang dihasilkan ialah aiskrim Golden Melon, dadih melon dan gula-gula kenyal (gummies), selain produk bukan makanan seperti sabun mandi, sabun pencuci pinggan dan sabun cecair berasaskan melon.

Menurut Dr. Shiamala, buah yang kurang memenuhi spesifikasi pasaran seperti bersaiz kecil atau mempunyai kecacatan fizikal tertentu turut dinilai kesesuaiannya untuk diproses menjadi produk lain bagi mengurangkan pembaziran hasil tuaian.

Pendekatan itu diharap dapat membuka ruang kepada peserta mempelbagaikan produk, meningkatkan nilai hasil pertanian dan meneroka bidang keusahawanan yang berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan.

Selain aspek ekonomi, projek berkenaan turut menerapkan amalan pertanian lestari melalui penggunaan sistem pengairan titis, pemanfaatan sisa organik untuk penghasilan baja serta pengurusan perosak secara bersepadu.

Menurut Dr. Shiamala, kejayaan projek komuniti tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah hasil tuaian semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira perubahan pengetahuan, sikap dan keupayaan peserta untuk meneruskan aktiviti pertanian secara berdikari.

Beliau berharap kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan oleh peserta untuk meneruskan penanaman Golden Melon secara berkumpulan atau individu selepas tamat tempoh pembiayaan.

“Kejayaan projek ini bukan hanya diukur melalui jumlah buah yang dituai, tetapi sejauh mana ilmu dan kemahiran yang diberikan dapat membantu peserta menjadi lebih yakin, berdikari dan berpotensi menjana pendapatan sendiri.

“Saya berharap Golden Melon yang kita tanam hari ini bukan sahaja menghasilkan buah yang berkualiti, tetapi turut menjadi permulaan kepada peluang ekonomi baharu dan masa depan yang lebih baik untuk komuniti wanita,” katanya.

Projek berkenaan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 2 (Kelaparan Sifar), SDG 5 (Kesaksamaan Gender), SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) serta SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).

Dr. Shiamala turut merakamkan penghargaan kepada APPGM-SDG atas pembiayaan projek, pihak UPMS atas sokongan kepakaran dan teknikal serta PPWS Cawangan Bintulu-Tatau dan semua peserta atas komitmen serta kerjasama sepanjang pelaksanaan inisiatif berkenaan.

BERITA LAIN

Intai wajah baharu

PERANCANGAN Kuching City FC untuk membentuk sebuah pasukan lebih kompetitif bagi mengharungi baki saingan musim 2026/2027 kini memasuki fasa penting apabila jendela perpindahan pemain semakin

Berundurnya Gibran

PELETAKAN jawatan Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden – pengunduran pemimpin muda yang membuka persoalan lebih besar berkaitan kuasa, legasi Jokowi, kedudukan Prabowo dan masa

BERITA TERBARU