ARTIKEL

Anggun FC juara Piala RHB Empat Penjuru tanpa kalah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Anggun FC dinobatkan juara Piala RHB Empat Penjuru Edisi Kedua 2026 selepas menamatkan saingan tanpa kalah dengan mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan di Padang Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA), semalam.

Kapten Anggun FC, Zamarul Ezany, berkata semangat berpasukan yang utuh serta keberkesanan perancangan taktikal menjadi kunci utama kejayaan pasukan itu.

“Alhamdulillah, syukur atas kemenangan ini. Kejuaraan ini bukan hasil usaha saya seorang, tetapi titik peluh setiap pemain, jurulatih dan pihak pengurusan yang bekerja keras sejak perlawanan pertama.

“Kunci utama kejayaan Anggun FC terletak pada semangat berpasukan yang utuh, apabila setiap pemain sanggup mengenepikan kepentingan peribadi demi kemenangan bersama,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Menurut Zamarul, kebijaksanaan jurulatih merencanakan taktikal serta kemampuan pemain menterjemahkan strategi di atas padang turut menjadi pemangkin kecemerlangan pasukan.

“Selepas ini, pasukan akan memperbanyakkan perlawanan persahabatan bagi memperkemas keserasian dan memperkukuh pasukan sebagai persediaan menghadapi kejohanan akan datang,” ujarnya.

Zamarul turut merakamkan penghargaan kepada Pengurus Pasukan, Andy Azwandy Norseman, serta Koie Transport, Nikman Marali, Zalia Fitri, Anggun Kontraktor dan Nono atas sokongan serta sumbangan kepada pasukan.

Anggun FC membuka kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan wakil Kalimantan Barat, Indonesia, Putra Rantau FC 3-1 sebelum terikat 0-0 dengan Jengenn FC pada perlawanan kedua.

Skuad kendalian Ketua Jurulatih, Hakimi Manan, itu kemudian mengesahkan kejuaraan selepas menundukkan Harkonen FC 3-1 pada perlawanan terakhir menerusi jaringan Shah Fitri Salim pada minit ke-10, Zainudin Razali (minit ke-23) dan Nurakmal Mohamad Faisal (minit ke-38).

Keputusan itu menyaksikan Anggun FC menamatkan kejohanan dengan rekod dua kemenangan dan satu keputusan seri, selain menghasilkan enam gol serta bolos dua kali.

Sementara itu, Jengenn FC muncul naib juara, diikuti Harkonen FC di tempat ketiga dan Putra Rantau FC di kedudukan keempat, dengan kesemua pasukan menerima piala serta pingat.

Jengenn FC turut mencuri tumpuan apabila mengungguli kedua-dua anugerah individu, iaitu Pemain Terbaik, Muhd Amiruddin, dan Penjaga Gol Terbaik, Rahiman Abdullah.

Piala RHB Empat Penjuru bakal diteruskan dengan penganjuran edisi ketiga pada Disember ini, diikuti edisi keempat pada Januari 2027.

Kemuncak pertandingan pula dijadual berlangsung pada Februari 2027 menerusi Piala Juara-Juara Empat Penjuru yang bakal mempertemukan juara daripada empat edisi terdahulu.

BERITA LAIN

Intai wajah baharu

PERANCANGAN Kuching City FC untuk membentuk sebuah pasukan lebih kompetitif bagi mengharungi baki saingan musim 2026/2027 kini memasuki fasa penting apabila jendela perpindahan pemain semakin

Berundurnya Gibran

PELETAKAN jawatan Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden – pengunduran pemimpin muda yang membuka persoalan lebih besar berkaitan kuasa, legasi Jokowi, kedudukan Prabowo dan masa

BERITA TERBARU