BINTULU: Penglibatan wanita dalam sektor pertanian moden menerusi penanaman Golden Melon berpotensi membuka peluang ekonomi baharu, sekali gus memperkasa keupayaan golongan itu menjana pendapatan dan meneroka bidang keusahawanan berasaskan pertanian.
Pengerusi Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Bintulu-Tatau, Zainab Mat, berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan kepada ahli mengenai kaedah pertanian moden, malah membantu membina kemahiran, meningkatkan keyakinan diri serta mengenal pasti potensi ekonomi dalam sektor berkenaan.

Menurutnya, kejayaan projek penanaman Golden Melon sehingga ke peringkat penuaian membuktikan bahawa perancangan teliti, komitmen dan kerjasama berpasukan mampu menghasilkan inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti.
“Pertanian moden membuka ruang untuk ahli menambah ilmu, membina keyakinan dan melihat peluang keusahawanan daripada perspektif yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian PUTRA@ Bintulu Pemerkasaan Wanita Melalui Penanaman Golden Melon Bernilai Tinggi ke Arah Kelestarian dan Keterjaminan Makanan di perkarangan premis PPWS Bintulu, di sini semalam.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming dan Pengerusi Negeri PPWS Datuk Norhayati Mohd Ismail turut hadir.
Projek berkenaan menerima pembiayaan RM40,000 daripada Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG).
Zainab berkata projek yang bermula pada Julai lalu dan dijadualkan berlangsung sehingga Mei 2027 itu dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu.
Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat diperluas secara berperingkat dan terancang bagi membolehkan lebih ramai wanita mendapat manfaat daripada peluang yang ditawarkan sektor pertanian moden.
Katanya, projek itu turut membuktikan bahawa wanita di peringkat komuniti berupaya mengendalikan aktiviti ekonomi berasaskan kemahiran, penggunaan teknologi dan kerjasama strategik.
Beliau berharap kejayaan projek berkenaan menjadi pemangkin kepada lebih ramai ahli PPWS untuk berani menceburi bidang pertanian serta merebut peluang ekonomi yang tersedia.
Dalam pada itu, Zainab merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pelaksana, 15 peserta projek, penyelaras dan sukarelawan yang menyumbangkan masa serta tenaga sejak peringkat persediaan sehingga proses penuaian hasil.
Sepanjang pelaksanaan projek, peserta diberikan latihan secara berperingkat meliputi penyediaan media tanaman, penyemaian benih, penanaman, sistem pengairan titis, pembajaan, pengurusan perosak dan penyakit, cantasan, pendebungaan, pemilihan buah serta pengendalian lepas tuai.
Sebanyak 300 pokok Golden Melon ditanam di kawasan projek PPWS Bintulu dengan menggunakan sistem pengairan titis automatik bagi meningkatkan kecekapan penggunaan air dan pengurusan tanaman.
Peserta turut didedahkan kepada penghasilan baja organik seperti kompos, Organic Plant Booster (OPB) dan baja kulit telur, selain kaedah kawalan perosak secara bersepadu menggunakan perangkap pelekat kuning serta semburan berasaskan minyak neem.
Selain menjual buah segar, projek berkenaan turut memberi penekanan kepada penghasilan produk nilai tambah bagi memaksimumkan potensi ekonomi hasil tuaian.
Antara produk yang berjaya dibangunkan peserta ialah aiskrim Golden Melon, dadih melon dan gula-gula kenyal (gummies), selain produk bukan makanan seperti sabun mandi, sabun pencuci pinggan dan sabun cecair berasaskan melon.




