BINTULU: Pengunjung kini berpeluang meneroka keunikan kehidupan hidupan liar selepas matahari terbenam menerusi aktiviti Tumbina Night Walk yang diperkenalkan di Taman Tumbina bermula 20 November ini.
Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datuk Haidar Khan Asghar Khan, berkata, inisiatif itu merupakan usaha memperbagaikan produk pelancongan dan aktiviti rekreasi persekitaran Taman Tumbina dalam suasana malam, di samping mengenali kehidupan haiwan nokturnal yang lebih aktif selepas matahari terbenam.
“Sebelum ini, pengalaman lawatan malam di Taman tumbina hanya ditawarkan kepada pengunjung sempena penganjuran Pesta Tumbina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada sesi pra-pembukaan aktiviti Tumbina Night Walk, semalam.
Aktiviti yang berlangsung selama dua malam, iaitu pada 20 dan 21 November itu dimulakan dengan sesi pra-pembukaan sebagai langkah memperkenalkan konsep lawatan malam berkenaan kepada orang ramai.
Antara keunikan utama aktiviti itu ialah peluang menyaksikan tingkah laku serta aktiviti haiwan nokturnal, sekali gus memberikan pendedahan kepada pengunjung mengenai corak kehidupan dan keupayaan haiwan berkenaan menyesuaikan diri dengan persekitaran sekitar malam.
Menurutnya, aktiviti berkenaan memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri pendekatan pendidikan tidak formal bagi meningkatkan pengetahuan serta kesedaran masyarakat mengenai kepelbagaian biodiversiti, khususnya hidupan liar yang kurang mendapat perhatian umum.
Haidar berkata, inisiatif itu juga diharap dapat memupuk minat dan penghargaan masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan hidupan liar serta usaha pemuliharaan alam sekitar.
Bagi memastikan lebih ramai pengunjung berpeluang menikmati pengalaman berkenaan, aktiviti Tumbina Night Walk dirancang untuk dilaksanakan secara bulanan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan BDA memperkaya tawaran pelancongan berasaskan alam semula jadi di Bintulu.
Pelaksanaan secara berkala itu juga dijangka menjadi nilai tambah kepada Taman Tumbina sebagai destinasi rekreasi, pendidikan dan pelancongan keluarga, selain memperkukuh daya tarikan Bintulu sebagai destinasi pelancongan berasaskan biodiversiti.


