ARTIKEL

Tumbina Night Walk tawar pengalaman hidupan liar waktu malam di Bintulu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Pengunjung kini berpeluang meneroka keunikan hidupan liar selepas matahari terbenam menerusi aktiviti Tumbina Night Walk yang diperkenalkan di Taman Tumbina mulai 20 November lalu.

Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datuk Haidar Khan Asghar Khan, berkata inisiatif itu ialah usaha mempelbagaikan produk pelancongan dan aktiviti rekreasi di Taman Tumbina, selain menawarkan pengalaman baharu yang menggabungkan elemen penerokaan alam semula jadi dan pendidikan.

Haidar bersama Pengurus Besar BDA, Datuk Muhammad Yakup Kari, menyertai aktiviti Tumbina Night Walk.

Menurutnya, aktiviti berkenaan memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri persekitaran Taman Tumbina dalam suasana malam, di samping mengenali kehidupan haiwan nokturnal yang lebih aktif selepas matahari terbenam.

“Sebelum ini, pengalaman lawatan malam di Taman Tumbina hanya ditawarkan kepada pengunjung sempena penganjuran Pesta Tumbina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi prapembukaan aktiviti Tumbina Night Walk di Taman Tumbina, malam tadi.

Aktiviti yang berlangsung selama dua malam, iaitu pada 20 dan 21 November itu dimulakan dengan sesi prapembukaan sebagai langkah memperkenalkan konsep lawatan malam berkenaan kepada orang ramai.

Haidar bersama Pengurus Besar BDA, Datuk Muhammad Yakup Kari, menyaksikan aktiviti memberi makan buaya di Taman Tumbina Bintulu.

Antara keunikan utama aktiviti itu ialah peluang menyaksikan tingkah laku serta aktiviti haiwan nokturnal, sekali gus memberikan pendedahan kepada pengunjung mengenai corak kehidupan dan keupayaan haiwan berkenaan menyesuaikan diri dengan persekitaran semula jadi.

Selain menawarkan pengalaman rekreasi yang berbeza, Tumbina Night Walk turut mengetengahkan pendekatan pendidikan tidak formal bagi meningkatkan pengetahuan serta kesedaran masyarakat mengenai kepelbagaian biodiversiti, khususnya hidupan liar yang kurang mendapat perhatian umum.

Haidar berkata, inisiatif itu juga diharap dapat memupuk minat dan penghargaan masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan hidupan liar serta usaha pemuliharaan alam sekitar.

Haidar bersama Pengurus Besar BDA, Datuk Muhammad Yakup Kari, menyaksikan aktiviti memberi makan buaya di Taman Tumbina Bintulu.

Bagi memastikan lebih ramai pengunjung berpeluang menikmati pengalaman berkenaan, aktiviti Tumbina Night Walk dirancang untuk dilaksanakan secara bulanan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan BDA memperkaya tawaran pelancongan berasaskan alam semula jadi di Bintulu.

Pelaksanaan secara berkala itu juga dijangka memberi nilai tambah kepada Taman Tumbina sebagai destinasi rekreasi, pendidikan dan pelancongan keluarga, selain memperkukuh daya tarikan Bintulu sebagai destinasi pelancongan berasaskan biodiversiti.

BERITA LAIN

Jambatan Sejingkat diiktiraf Malaysia Book of Records

KUCHING: Jambatan Sejingkat mencipta sejarah tersendiri apabila menara konkrit berbentuk berlian dalam satah setinggi 119 meter diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai yang tertinggi

BERITA TERBARU

Jambatan Sejingkat diiktiraf Malaysia Book of Records

KUCHING: Jambatan Sejingkat mencipta sejarah tersendiri apabila menara konkrit berbentuk berlian dalam satah setinggi 119 meter diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai yang tertinggi

240 iku chalun SPM ninga licha motivasyen (h)

SERIAN: Sepenyampau 240 iku chalun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 ari Sekula Sekondari (SMK) Balai Ringin nyereta Program Ngiri Penemu enggau Peransang dikena netapka pengeransing