KUCHING: Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memuji karakter pemainnya yang semakin terserlah dan menjurus kepada kemenangan selesa (2-0) ke atas Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.
Menurut Aidil, kemenangan itu menyuntik semangat pemainnya yang telah menempah tempat ke final Piala FA selain kini memburu tempat kedua liga.
Aidil mengakui kesungguhan anak-anak buahnya yang berjaya menamatkan babak pertama dengan bergaya menerusi dua gol hasil jaringan Safawi Rasid pada minit kelima dan kapten pasukan, James Okwuosa, pada minit ke-37.
“Pujian kepada pemain kerana bekerja keras pada perlawanan semalam. Bukan mudah untuk bermain dalam cuaca panas, tetapi itu bukan alasan, mereka bekerja sangat keras dan berjaya menjaringkan dua gol pada babak pertama,” ujar Aidil pada sidang media selepas perlawanan.
Katanya, prestasi pemainnya semakin baik dan yang paling penting, tiga mata yang diperoleh menjadi satu bonus buat Kuching City.
Jurulatih kelahiran Singapura itu berkata, walaupun keadaan padang di Paroi kurang memuaskan, pemainnya berjaya mengawal rentak permainan sepanjang 90 minit.
Dalam pada itu, Aidil memberitahu pasukan kendaliannya boleh melepasi defisit gol yang ada, tetapi gol yang dijaringkan Jerome Mpacko Etame dibatalkan kerana offside.
“Penghujung perlawanan, penjaga gol Haziq Nadzli tampil wira apabila menepis sepakan penalti Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-81,” katanya.
Seterusnya, Kuching City beralih fokus ke pentas Asia apabila menentang Phnom Penh Crown dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) pada 26 November ini.



