ARTIKEL

Sebahagian penduduk yang menyertai gotong royong membersih sekitar rumah panjang bersama anggota RELA dan APM Matu baru-baru ini.

Penduduk Kampung Sok gembira rumah panjang bersejarah bakal dipulihara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MATU: Hasrat penduduk Kampung Sok untuk melihat Rumah Panjang Melanau Kampung Sok dipulihkan akhirnya kesampaian selepas bangunan bersejarah itu diiktiraf sebagai aset warisan yang akan diberi perhatian kerajaan Sarawak.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sok, Hafizah Abdul Razak, berkata perkembangan itu disambut baik penduduk yang sudah lama menantikan usaha pemulihan rumah panjang berkenaan secara menyeluruh.

Beliau berkata, kerja pemuliharaan bukan sahaja dapat memastikan struktur bersejarah itu terus terpelihara, malah berpotensi menjadikannya antara lokasi warisan yang menarik untuk dikunjungi di daerah Matu.

“Bagi pihak penduduk kampung, kami amat berterima kasih dan mengalu-alukan perhatian kerajaan terhadap rumah panjang yang mempunyai nilai sejarah tersendiri ini.

“Sehubungan itu, kami berharap kerja pemulihan dapat disegerakan kerana terdapat beberapa bahagian bangunan yang semakin uzur dan dikhuatiri boleh menimbulkan risiko kepada pengunjung,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hafizah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu merealisasikan usaha berkenaan, termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, sambil berharap proses pemuliharaan itu berjalan lancar.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Rumah Panjang Melanau Kampung Sok yang diwartakan sebagai bangunan warisan akan diberi perhatian bagi kerja pembaikan dan pemuliharaan.

“Rumah panjang ini mempunyai nilai istimewa kerana merupakan satu-satunya rumah panjang Melanau yang masih wujud, sekali gus penting untuk dikekalkan sebagai khazanah sejarah dan budaya Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, struktur asal bangunan yang menggunakan kayu belian menjadikan rumah panjang itu mempunyai nilai seni bina yang tinggi, oleh itu sebarang kerja pemuliharaan perlu dilakukan dengan kaedah bersesuaian bagi mengekalkan reka bentuk serta keaslian asalnya.

Abdul Karim berkata, pemuliharaan bangunan bersejarah memerlukan penelitian, perancangan serta kos yang besar kerana pendekatannya berbeza daripada pembinaan bangunan baharu, selain kerajaan turut merancang langkah susulan terhadap bangunan warisan yang diwartakan.

Dalam pada itu, pihak muzium juga mengadakan lawatan ke rumah panjang itu baru-baru ini bagi meneliti keadaan semasa dan mengenal pasti keperluan pemuliharaannya.

BERITA LAIN

Irene Wong bakal tanding kerusi DUN Pelawan

KUCHING: DAP Sarawak mengetengahkan calon generasi Z pertamanya apabila Irene Wong, 24, bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan pada Pilihan Raya Negeri

BERITA TERBARU