KUCHING: Lebih 202 tan daging sejuk beku bernilai hampir RM6 juta dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak selepas dua premis penyimpanan di bandar raya ini gagal mengemukakan dokumen import yang sah.
Rampasan membabitkan 202,777 kilogram daging itu dilakukan menerusi Op Taring Landai pada Rabu lalu, selepas pemeriksaan mendapati sejumlah besar produk berkenaan disimpan dalam gudang sejuk beku di kedua-dua premis.
Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Ab Rahman Mat Hasan berkata, operasi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Markas PPM Wilayah 5 Kuching kira-kira jam 11 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati dua lelaki tempatan yang menjaga premis terbabit gagal mengemukakan dokumen berkaitan pengimportan daging tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis mempunyai gudang penyimpanan sejuk beku yang mengandungi sejumlah besar daging.
“Bagaimanapun, dua lelaki tempatan yang menjaga premis terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan import berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Ab Rahman berkata, kegagalan mengemukakan dokumen itu menimbulkan syak bahawa produk berkenaan dibawa masuk tanpa mematuhi peraturan pengimportan yang ditetapkan.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM5,977,756, manakala kes itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Kuching untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 9(1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 kerana disyaki mengimport produk ternakan atau produk berasaskan ternakan tanpa permit yang sah.



