KAPIT: Rakaman video berdurasi 22 saat yang memaparkan seorang gelandangan dipukul dengan selipar membawa kepada penahanan empat remaja perempuan di Sungai Yong, Nanga Tisa, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Rohana Nanu berkata, pihaknya mengambil perhatian terhadap kejadian itu selepas rakaman berkenaan tular di media sosial.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit menjalankan operasi mengesan individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
“Hasil tindakan susulan, polis berjaya menahan keempat-empat remaja perempuan berkenaan di kawasan Sungai Yong, Nanga Tisa, pada 20 November bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Rohana berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk merakam kejadian itu bagi membantu siasatan lanjut.
Menurutnya, semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini ditahan di lokap Balai Polis Kapit.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai kejadian itu.
Sehubungan itu, Rohana mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran masyarakat.
Beliau turut menasihatkan pengguna media sosial agar tidak memanipulasi fakta atau membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak sebelum siasatan selesai.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu polis dengan menghubungi Balai Polis Kapit di talian 084-766222 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Rohana turut menghargai kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat bagi membantu polis memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini terus terpelihara.



