ARTIKEL

Membaca Kesarjanaan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Melalui Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak 2024/2025

SARAWAK memiliki khazanah sejarah, bahasa, adat, kebudayaan dan alam yang menyediakan ruang luas bagi kegiatan penyelidikan dan kepengarangan. Namun, kekayaan tersebut belum sepenuhnya diterjemahkan ke dalam tradisi penulisan dan penerbitan ilmiah yang mantap.

Masih banyak aspek kehidupan masyarakat Sarawak yang belum didokumentasikan secara sistematik, sementara sebahagian karya terdahulu membicarakan negeri ini melalui kerangka pemikiran dan kepentingan penyelidikan yang kurang berpijak pada pengalaman masyarakat setempat.

Dalam hubungan ini, penerbitan karya yang berlandaskan penelitian mendalam terhadap sejarah, alam dan kehidupan masyarakat Sarawak mempunyai kedudukan yang penting dalam pembinaan tradisi keilmuan negeri ini.

Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam and Secularism (1978) menghubungkan persoalan kehilangan adab dengan kekeliruan dalam memahami hakikat dan kedudukan ilmu. Gagasan ini mempunyai pertalian yang luas dalam membicarakan tradisi kepengarangan dan kesarjanaan.

Penghargaan terhadap ilmu turut menuntut pengiktirafan yang sewajarnya terhadap mereka yang menghasilkan, mengembangkan dan menyebarluaskannya.

Dalam kerangka pemikiran ini, Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak (ABTPS) dapat dilihat sebagai suatu usaha institusi untuk mengangkat martabat kepengarangan dan memperkukuh tradisi keilmuan di Sarawak.

Signifikannya melangkaui pengiktirafan terhadap kecemerlangan sesebuah karya, kerana yang lebih mendasar ialah pembentukan budaya intelektual yang menghargai kegiatan penyelidikan, penulisan dan penerbitan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negeri.

ABTPS dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan sokongan Kerajaan Sarawak. Majlis sulungnya pada malam 23 Mei 2025 disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tujuan ABTPS jelas untuk mengiktiraf penulis yang menghasilkan buku berkualiti dalam bahasa Melayu sebagai nilai tambah kepada dokumentasi kearifan dan kebitaraan tempatan. Ada dua kategori dipertandingkan, iaitu Terbitan DBP dan Terbitan Luar.

Edisi pertama ABTPS yang menilai buku terbitan tahun 2022 dan 2023 menerima sebanyak 11 pencalonan. Dua karya yang memperoleh pengiktirafan memperlihatkan keluasan bidang ilmu yang menjadi perhatian para pengarang tentang Sarawak.

Buku Empurau: Ikan Eksotik Sarawak karya Emilyn Badut, Mohd Saiful Fadhli Maidin dan Siti Hawa Mohamad Ali memenangi kategori Terbitan DBP dengan hadiah wang tunai sebanyak RM8,000. Karya ini membicarakan aspek biologi, ekologi dan kepentingan budaya ikan empurau yang dikenali sebagai raja sungai, di samping mendokumentasikan tradisi masyarakat sungai yang semakin terhakis oleh perubahan zaman.

Sementara itu, Negeri Santubong: Sejarah Awal Sarawak 300 ESS-1647 ES karya Datu Dr. Sanib Said memenangi kategori Terbitan Luar dengan hadiah wang tunai berjumlah RM5,000. Buku yang dihasilkan daripada penyelidikan selama lebih tiga dekad ini mengemukakan pemahaman tentang kedudukan Santubong sebagai sebuah entiti politik Melayu awal yang mempunyai sistem pentadbiran, kegiatan metalurgi dan jaringan perdagangan berasaskan pelabuhan.

Edisi kedua ABTPS yang menilai buku terbitan tahun 2024 dan 2025 berlangsung pada 25 September 2026. Jumlah pencalonan meningkat dua kali ganda kepada 22, melibatkan 12 pencalonan dalam kategori Terbitan Luar dan 10 pencalonan dalam

kategori Terbitan DBP.

Dua karya yang menerima pengiktirafan ialah Lada Hitam: Permata Sarawak oleh Izzah Abd Hamid @ Ghazali dan Wan Asrina Wan Yahaya, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, serta Etnik Bidayuh dan Bale Gambang-Baruk: Identiti, Tradisi dan Perubahan oleh Charlie Ungang dan Awang Azman Awang Pawi, terbitan Penerbit Universiti Malaya.

Kedua-dua karya ini mempunyai kepentingan tersendiri dalam perkembangan kesarjanaan Sarawak. Karya pertama memberikan perhatian kepada pengembangan pengetahuan saintifik dalam sektor pertanian, manakala karya kedua meneliti kedudukan institusi tradisional dalam kehidupan masyarakat Bidayuh.

Pertemuan antara kedua-dua bidang ini memperlihatkan keluasan ruang penyelidikan dan kepengarangan yang berteraskan pengalaman serta pengetahuan masyarakat setempat. Perbincangan terhadap kedua-dua karya ini tertumpu pada prakata, pendahuluan, struktur kandungan dan bahan dokumentasi yang tersedia, tanpa membuat penilaian menyeluruh terhadap penghujahan setiap bab atau pertimbangan khusus panel hakim.

Lada Hitam: Permata Sarawak

Penulisan buku ini bertolak daripada persoalan yang mendasari perkembangan industri lada hitam di Malaysia, khususnya berhubung dengan kecekapan pengeluaran dan kelestarian tanaman berbanding Vietnam.

Dalam prakatanya, pengarang membangkitkan persoalan tentang pemilihan varieti, keadaan topografi dan pengurusan tanaman yang berkemungkinan mempengaruhi peningkatan kos pengeluaran serta pulangan kepada pekebun. Keadaan tersebut turut dikaitkan dengan kecenderungan petani beralih kepada tanaman yang lebih mudah diusahakan.

Persoalan ini mendasari penyusunan kandungan buku yang meliputi penyediaan bahan tanaman dan kultivar, kaedah penanaman dan penjagaan, hinggalah kepada penuaian serta pemprosesan lada hijau, hitam dan putih.

Perbincangan mengenai penyakit, perosak dan nutrien tanaman yang merangkumi

halaman 83 hingga 146, iaitu lebih daripada satu pertiga kandungan teks, memperlihatkan keutamaan pengarang terhadap persoalan pengurusan dan kesihatan tanaman.

Latar belakang kedua-dua pengarang sebagai ahli sains tanah dari Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, serta pelibatan salah seorang daripadanya dalam kegiatan pemindahan teknologi kepada petani kecil, memberikan asas kepada orientasi praktikal karya ini.

Pengiktirafan terhadap sebuah buku dalam bidang pertanian turut memperluas pemahaman tentang pengertian pengetahuan tempatan. Pengetahuan tersebut tidak terbatas pada adat, ritual dan tradisi lisan, tetapi turut merangkumi pengalaman masyarakat dalam mengurus sumber alam dan kegiatan ekonomi.

Dalam konteks penanaman lada di Sarawak, pengalaman pekebun mengurus tanah, sumber air, pembajaan dan penjagaan tanaman merupakan sebahagian daripada pengetahuan yang terbentuk melalui interaksi berterusan dengan persekitaran.

Senarai foto dalam buku ini merakamkan ladang di kawasan bercerun berhampiran rumah panjang di Sungai Setiam, Bintulu, ladang masyarakat Kayan di Sungai Asap, Kapit, penggunaan tong tadahan hujan bagi penyiraman manual serta kaedah pembajaan terus yang diamalkan pekebun untuk menjimatkan kos.

Pendekatan tersebut menemukan pengalaman praktikal masyarakat dengan penyelidikan saintifik yang dijalankan oleh pengarang, antaranya penggunaan Trichoderma asperellum sebagai agen kawalan biologi terhadap Ganoderma zonatum dan pemetaan kesuburan tanah menggunakan Sistem Maklumat Geografi, termasuk simulasi taburan nitrogen di kawasan berbukit dan tanah rata.

Penggunaan bahasa yang mudah difahami, disertai senarai foto yang mengandungi 192 entri, memperlihatkan kesungguhan pengarang menyediakan bahan bacaan yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat umum, khususnya golongan petani.

Kekuatan pendekatan ini terletak pada usaha menjadikan pengetahuan saintifik lebih dekat dengan kehidupan masyarakat tanpa mengabaikan kepentingan ketelitian ilmiah.

Robert Darnton dalam artikelnya What Is the History of Books? (1982) mengemukakan konsep litar komunikasi bagi menjelaskan hubungan antara pengarang, penerbit, pencetak, penjual dan pembaca dalam perkembangan sejarah buku. Pemikiran Darnton memberikan asas untuk memahami kedudukan Lada Hitam: Permata Sarawak dalam proses penghasilan dan penyebaran ilmu.

Pelibatan pengarang dengan masyarakat petani di Serian, Sri Aman, Bintulu dan beberapa kawasan lain memperlihatkan bahawa golongan yang menjadi sumber pengetahuan dalam penyelidikan turut merupakan kelompok pembaca yang disasarkan oleh penerbitan tersebut.

Hubungan ini penting dalam memastikan hasil penyelidikan mempunyai pertalian dengan persoalan sebenar yang dihadapi masyarakat.

Dalam laporan Towards Knowledge Societies (2005), UNESCO turut membezakan masyarakat maklumat yang bertunjangkan perkembangan teknologi daripada masyarakat berpengetahuan yang memberikan keutamaan kepada penghasilan,

perkongsian dan pemanfaatan ilmu.

Berdasarkan kerangka tersebut, penerbitan karya sains pertanian dalam bahasa Melayu yang mudah difahami merupakan suatu sumbangan kepada usaha memperluas akses masyarakat terhadap pengetahuan saintifik.

Walau bagaimanapun, tahap keberkesanan buku ini dalam meningkatkan pengetahuan dan produktiviti pekebun masih memerlukan penelitian empirikal yang khusus.

(Bahagian 2 akan disiarkan pada 28 November 2026)

BERITA LAIN

Buli bukan gurauan

BARU-BARU ini, tular rakaman tiga pelajar lelaki 15 tahun berhubung dakwaan buli membabitkan mangsa berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah. Dalam rakaman tersebut, mangsa

PENIPU SEMAKIN LICIK semak sebelum terpedaya

BERMULA dengan mesej WhatsApp daripada individu yang menyamar sebagai kenalan, panggilan telefon kononnya daripada pihak berkuasa hingga ke laman sesawang palsu, sindiket penipuan semakin licik

BERITA TERBARU

Melati Sarawak angkat warisan Melayu

KISAH cinta penuh konflik, perebutan kasih dan keindahan seni tradisional masyarakat Melayu Sarawak bakal dihidupkan menerusi pementasan teater Melati Sarawak (Versi Tiga Titik Rachun) yang

Buli bukan gurauan

BARU-BARU ini, tular rakaman tiga pelajar lelaki 15 tahun berhubung dakwaan buli membabitkan mangsa berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah. Dalam rakaman tersebut, mangsa