BERMULA dengan mesej WhatsApp daripada individu yang menyamar sebagai kenalan, panggilan telefon kononnya daripada pihak berkuasa hingga ke laman sesawang palsu, sindiket penipuan semakin licik menggunakan pelbagai taktik untuk mencuri maklumat peribadi dan wang mangsa.
Dengan mengeksploitasi kepercayaan dan emosi pengguna, sindiket turut menawarkan pinjaman palsu, menjalinkan hubungan melalui media sosial serta menyalahgunakan teknologi untuk memperdaya mangsa.
Pengurus Cawangan Agrobank Mukah, Mohamad Abdul Karim Kedri berkata, laporan berkaitan kes penipuan diterima hampir setiap minggu, antaranya melibatkan pembelian dalam talian, penipuan cinta (love scam) dan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (Al).
Menurutnya, antara taktik yang sering digunakan ialah menyamar sebagai rakan atau ahli keluarga melalui akaun WhatsApp yang digodam sebelum meminta wang atas pelbagai alasan.
“Keadaan ini menyebabkan mangsa mudah terpedaya kerana menyangka permintaan berkenaan datang daripada individu yang dikenali, sedangkan wang yang dipindahkan mungkin disalurkan ke akaun pihak ketiga atau akaun keldai bagi menyukarkan pengesanan sindiket.
“Kegiatan penipuan ini lazimnya dilakukan secara berkumpulan dengan setiap anggota mempunyai peranan tertentu, sekali gus menyukarkan usaha mengenal pasti individu yang bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.
PANGGILAN PALSU, PAUTAN BERBAHAYA
Selain WhatsApp, sindiket turut menyamar sebagai pegawai polis, kastam atau agensi kerajaan melalui panggilan telefon sebelum memperdaya mangsa supaya mengakses laman web palsu.
“Dengan panggilan telefon yang meyakinkan, sindiket mengambil peluang untuk menghantar pautan ke laman web palsu bagi mendapatkan maklumat peribadi mangsa.
“Apabila kita memberikan maklumat peribadi kepada orang lain ataupun mengisi data dalam laman web palsu itu, memang senang untuk sindiket melakukan tugas mereka,” katanya lagi.
Menurut Karim, perkembangan teknologi membolehkan sindiket menghasilkan laman web yang menyerupai platform sah, termasuk bagi memperdaya mangsa melalui tawaran pekerjaan dan pelaburan.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru menekan pautan atau berkongsi maklumat peribadi, terutama apabila menerima panggilan yang mendakwa daripada pihak berkuasa.
“Ini kebiasaannya yang berlaku, apabila kita panik terutamanya mendapat panggilan daripada pihak berkuasa, kita akan terburu-buru melakukan sesuatu.
“Bahaya, sangat bahaya kerana mereka menggunakan peluang ini untuk mendapatkan data peribadi kita,” jelasnya.
WASPADA PENIPUAN BUNGKUSAN DAN KOD QR
Penipuan turut berlaku melalui penghantaran barangan secara bayaran semasa penghantaran atau cash on delivery (COD), apabila mangsa menerima bungkusan yang tidak pernah dipesan sebelum diminta membuat pembayaran melalui kod QR.
Karim berkata, pengguna yang kerap membeli-belah dalam talian perlu menyemak setiap pesanan sebelum membuat pembayaran.
“Pastikan barangan itu benar-benar dipesan sebelum membuat sebarang bayaran. Jangan mudah percaya hanya kerana penghantar datang menyerahkan bungkusan.
“Mungkin bagi individu yang jarang membeli-belah dalam talian, lebih mudah untuk mengingati barangan yang dipesan, namun bagi mereka yang kerap membuat pembelian, agak sukar untuk mengenal pasti setiap pesanan yang dibuat.”
Orang ramai juga perlu berhati-hati dengan kod QR daripada sumber tidak dikenali kerana ia boleh membawa pengguna ke laman web mencurigakan. Begitu juga dengan permintaan derma yang perlu disemak kesahihannya sebelum sumbangan diberikan.
AI JADIKAN PENIPUAN LEBIH MEYAKINKAN
Lebih membimbangkan, teknologi Al turut disalahgunakan melalui teknik deepfake untuk menghasilkan imej dan video palsu yang kelihatan seperti rakaman sebenar.
Keadaan ini menyukarkan pengguna mengesahkan identiti seseorang, termasuk ketika menerima panggilan video yang memaparkan wajah ahli keluarga atau kenalan.
Mangsa yang terpedaya juga mungkin menyerahkan kod pengesahan transaksi (TAC), sekali gus membuka ruang kepada penipu untuk mengakses akaun dan mengeluarkan wang.
BERTINDAK SEGERA JIKA MENJADI MANGSA
Mangsa yang menyedari wang telah dipindahkan kepada penipu perlu segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997, selain membuat laporan polis.
Orang ramai juga boleh menggunakan portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyemak nombor akaun bank dan telefon yang mempunyai rekod berkaitan penipuan sebelum membuat transaksi.
Karim turut mengingatkan supaya bukti komunikasi seperti tangkap layar mesej WhatsApp, nombor telefon, butiran akaun dan rekod transaksi disimpan bagi membantu siasatan.
“Jangan terlalu mengejar keuntungan atau mengharapkan jalan mudah untuk mendapatkan wang sehingga mengabaikan risiko yang ada.
“Kita perlu lebih berhati-hati kerana penipu sentiasa mencari sasaran dan menggunakan pelbagai cara untuk memperdaya mangsa,” tegasnya.
Menurutnya, usaha membanteras penipuan bukan hanya tanggungjawab pihak bank atau agensi penguat kuasa, sebaliknya memerlukan kesedaran dan kerjasama masyarakat untuk melindungi maklumat peribadi serta keselamatan kewangan masing-masing.
Justeru, orang ramai perlu lebih berwaspada terhadap mesej, panggilan dan tawaran yang mencurigakan. Semak sebelum percaya kerana satu keputusan terburu-buru boleh menyebabkan wang simpanan lesap akibat penipuan.



