Kecintaan mendalam terhadap minuman kopi menjadi pencetus inspirasi pasangan suami isteri, Mohammad Rohaili Hussin dan Erlynn Nita Aleesya Mytan untuk membuka kedai kopi yang dikenali sebagai Souq Kohi.
Terletak di tengah-tengah bandar raya Kuching, iaitu di Jalan Gambier, Souq Kohi menjadi tempat pilihan penggemar kopi untuk menikmati pelbagai jenis minuman berasaskan kopi.
Kopi bukan sekadar minuman untuk menghilangkan rasa mengantuk, malah turut menjadi satu bentuk seni dan terapi jiwa bagi penggemarnya.

Bagi pencinta kopi sejati, setiap hari terasa tidak lengkap tanpa aroma biji kopi yang baharu dikisar serta kehangatan hirupan pertama yang menyegarkan minda.
Berkongsi cerita di sebalik kewujudan kedai kopi berkenaan ketika ditemui baru-baru ini, Rohaili mengakui beliau dan isterinya tidak pernah terlintas untuk memiliki kedai kopi sendiri.
Apatah lagi, kedua-duanya berdepan kekangan masa kerana sibuk dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

“Segala-galanya bermula dengan mengambil inspirasi daripada dua tempat di negara berbeza, iaitu Souq di Doha, Qatar, dan Kohi di Jepun.
“Kami berdua pencinta kopi. Justeru, kami memilih nama ‘Souq Kohi’ untuk kedai ini dengan mengambil inspirasi daripada kedua-dua tempat berkenaan,” ujar Rohaili.
Beliau turut mengakui bahawa beliau dan isterinya sering melancong, terutama ke negara jiran, Indonesia.
Pencetus inspirasi
Ketika berada di negara berkenaan, mereka tertarik melihat perkembangan kedai kopi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan, sekali gus mencetuskan inspirasi untuk membuka Souq Kohi.
Menurut Rohaili, biji kopi yang digunakan untuk menghasilkan minuman di Souq Kohi merupakan produk tempatan.
“Biji kopi yang kami gunakan di sini merupakan produk tempatan, iaitu dari Sarawak dan Tenom, Sabah.

“Bukan itu sahaja, kami juga bakal memperkenalkan kopi yang terkenal dari Bali, Indonesia, iaitu kopi luwak,” tambah Rohaili.
Katanya, walaupun Souq Kohi mengetengahkan konsep kedai kopi yang sederhana dan santai, minuman kopi yang dihasilkan tetap mengutamakan cita rasa premium.
“Inilah keistimewaan minuman kopi kami yang mampu memenuhi cita rasa pengunjung daripada pelbagai peringkat umur,” ujar Rohaili.

Beliau berkata, Souq Kohi menawarkan pelbagai pilihan minuman kopi kepada pelanggan.
Antaranya Americano, Long Black, Latte, Cappuccino, Flat White, Strawberry Latte, Mocha dan Matcha Strawberry.
Dari segi harga, setiap minuman kopi di Souq Kohi ditawarkan pada kadar berbeza mengikut saiz cawan yang ditempah pelanggan.
“Harga secawan kopi di Souq Kohi bermula daripada RM10 dan ke atas.
“Saya berpendapat harga yang ditetapkan ini berpatutan dan mampu milik bagi pelanggan,” jelas Rohaili.
Dalam masa yang sama, beliau menambah bahawa premis berkenaan beroperasi setiap hari, iaitu dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 pagi, Isnin hingga Ahad.
“Waktu operasi dijangka dilanjutkan pada Ramadan akan datang bagi memberi peluang kepada pengunjung menikmati kopi ketika moreh atau bersahur.
“Itu perancangan awal kami setakat ini dan saya rasa tiada masalah untuk memenuhi keperluan pengunjung,” katanya.
Menu tambahan
Dalam pada itu, Rohaili berkata, setakat ini, Souq Kohi hanya menawarkan minuman berasaskan kopi, namun pihaknya merancang untuk memperkenalkan menu tambahan pada masa akan datang.
Menurutnya, usaha tersebut bertujuan memberikan lebih banyak pilihan serta meningkatkan kepuasan pelanggan yang berkunjung ke premis berkenaan.
“Kami merancang untuk mempelbagaikan menu di sini pada masa akan datang,” jelasnya.

Rohaili turut mengakui pihaknya ingin berkongsi rasa dan pengalaman menikmati kopi sebenar dengan komuniti setempat.
“Matlamat kami ringkas tetapi bermakna.
Kami mahu menjadikan kedai kopi ini bukan sekadar tempat untuk membeli minuman, tetapi juga destinasi untuk berehat, berhubung dan mencipta kenangan indah bersama-sama insan tersayang, bermula dengan secawan kopi yang dibancuh penuh keikhlasan,” jelasnya.

