BINTULU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi berkenaan sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu itu berkata beliau sudah membeli borang penamaan calon kira-kira seminggu lalu sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi PRU Sarawak kali ini.
Bagaimanapun, katanya, keputusan rasmi mengenai calon yang akan mewakili GPS bagi kerusi Tanjong Batu masih belum diumumkan oleh Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengulas persiapan parti serta kemungkinan beliau dicalonkan semula untuk bertanding di kawasan berkenaan.
Menurutnya, beliau menghormati keputusan kepimpinan GPS berhubung pemilihan calon dan berharap semua pihak bersabar sehingga pengumuman rasmi dibuat pada 25 November ini.
Pada PRU Sarawak 2021, Johnny Pang yang mewakili GPS menang dengan majoriti tipis 23 undi.


