MIRI: Majlis Islam Sarawak (MIS) merancang memperkenalkan Diploma Kemahiran Pengurusan Masjid pada tahun hadapan bagi meningkatkan profesionalisme dan kecekapan pengurusan masjid di seluruh negeri.
Yang Dipertua MIS Datuk Misnu Taha berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) bagi merealisasikan cadangan itu.
“Usaha itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pentadbir masjid, khususnya dalam aspek pengurusan kewangan dan pentadbiran.
“Melalui latihan yang terancang, kita mahu menyeragamkan pengurusan masjid meliputi tadbir urus, kewangan, kepimpinan, teknologi, pengurusan fasiliti dan pembangunan komuniti.
“Ini bagi memastikan masjid juga dapat memainkan peranan sebagai pusat pentadbiran dan pengurusan yang diuruskan secara profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Muktamar Pengurusan dan Pengimarahan Masjid Sarawak Sempena Ziarah Mahabbah MIS 1448H/2026M Zon Utara yang disempurnakan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Hotel Pullman Miri, di sini, hari ini.
Tambahnya, MIS turut menggalakkan penyertaan golongan muda dalam pengurusan dan pengimarahan masjid, tidak terhad kepada orang tua sahaja.
“Masjid bukan hanya untuk golongan orang tua, tetapi juga untuk golongan muda agar dapat bersama-sama memainkan peranan dalam membangunkan institusi berkenaan,” katanya.
Menyentuh program, Misnu menjelaskan bahawa muktamar yang diadakan membawa satu matlamat yang cukup besar iaitu memperkukuh peranan dan fungsi institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah.
Sementara itu, siri muktamar diadakan di empat lokasi merangkumi 462 penyertaan di Raia Hotel Kuching, 214 di Seri Simanggang Hotel, 238 di Dewan Kompleks Islam Sarawak Sibu dan 321 di Pullman Hotel Miri, menjadikan jumlah keseluruhannya 1,235 penyertaan.
“Sambutan ini memperlihatkan kesungguhan bersama untuk memperkasa pengurusan serta pengimarahan masjid,” katanya.


