MATU: Kunjungan ke rumah ibadah pelbagai agama terus menjadi antara pendekatan dalam memperkukuh hubungan masyarakat berbilang kaum, sekali gus memelihara keharmonian dan semangat saling menghormati di Daerah Matu.
Usaha itu diteruskan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, menerusi Program Ziarah Masjid, Surau dan Rumah Ibadah Daerah Matu 2026, baru-baru ini.
Menerusi program berkenaan, beliau mengunjungi beberapa rumah ibadah di sekitar Matu bagi mendekati masyarakat setempat, selain mengambil kesempatan beramah mesra dengan jemaah dan penduduk pelbagai latar belakang.
Ziarah tersebut dimulakan dengan solat maghrib berjemaah di Masjid Igan, sebelum diteruskan dengan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kuala Matu.
Sehubungan itu, kunjungan berkenaan memberi peluang kepada Juanda untuk bertemu secara langsung dengan jemaah, bertanya khabar serta mengeratkan hubungan bersama masyarakat setempat.
Beliau turut mengunjungi rumah ibadah masyarakat Cina, Tua Pek Kong di Pasar Lama Matu, yang disambut mesra oleh masyarakat setempat dalam suasana meriah, termasuk sambutan mercun sebagai tanda kegembiraan dan penghormatan.
Rangkaian ziarah itu diteruskan ke Masjid Kampung Sekaan Besar, Matu, sebelum diakhiri di Masjid Kampung Jemoreng.
Program seumpama itu bukan sekadar kunjungan ke rumah ibadah, malah menjadi ruang pertemuan untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dengan masyarakat tanpa mengira perbezaan kaum dan pegangan agama.
Justeru, pendekatan mendekati masyarakat secara santai dan mesra itu turut menyokong usaha mengekalkan keharmonian serta perpaduan sebagai asas kepada pembangunan Sarawak yang inklusif dan makmur.


