TEBEDU: Tebedu bakal menerima dua projek pembangunan bernilai lebih RM46 juta melibatkan pembinaan Kompleks Ekonomi dan Kebudayaan Tebedu (KEKT) serta lima blok pasar baharu bagi memperkukuh kegiatan perdagangan, pelancongan dan ekonomi di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata, kedua-dua projek yang dilaksanakan menerusi Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) itu akan menyediakan kemudahan lebih lengkap kepada peniaga, usahawan dan masyarakat setempat.
“Pembangunan tersebut dijangka meningkatkan daya tarikan Bandar Mutiara Tebedu sebagai pusat kegiatan ekonomi dan perdagangan rentas sempadan.

“Ia khususnya dengan kedudukannya yang strategik berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu,” katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah kedua-dua projek berkenaan di Tebedu, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, KEKT bernilai RM41.25 juta akan dibangunkan sebagai pusat sehenti yang menggabungkan kegiatan perdagangan, kebudayaan, pelancongan serta kemudahan transit dalam satu kawasan bersepadu.
“Pembangunan itu merangkumi empat komponen utama iaitu Hab Kebudayaan, Piazza, Hab Transit dan Hab Ekonomi yang turut dilengkapi pusat pameran serta ruang pejabat bagi menyokong pelbagai aktiviti ekonomi dan kemasyarakatan.
“Kemudahan tersebut dijangka membuka peluang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk, memperkenalkan keunikan budaya setempat serta memanfaatkan pergerakan pengunjung antara Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia,” jelasnya.
Selain menyediakan ruang niaga dan pameran ujarnya, kompleks berkenaan juga berpotensi menjadi lokasi penganjuran pelbagai program kebudayaan dan komuniti yang dapat merancakkan sektor pelancongan di kawasan sempadan.
“Projek bernilai RM41,255,409.29 itu mula dilaksanakan pada 20 Oktober 2026 dan dijadualkan siap pada 19 April 2029 dengan tempoh pembinaan selama 30 bulan,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, projek pembangunan Tapak Pertanian Terbuka Tebedu bernilai RM4.82 juta pula melibatkan pembinaan lima blok pasar baharu di Dataran Mutiara Tebedu bagi menyediakan ruang perniagaan lebih teratur kepada peniaga kecil, petani dan usahawan tempatan.
“Projek tersebut turut merangkumi sebuah pentas terbuka berbumbung yang boleh dimanfaatkan untuk penganjuran aktiviti masyarakat, program komuniti serta pelbagai acara setempat.
“Pembinaan kemudahan pasar berkenaan dijangka meningkatkan keselesaan peniaga dan pengunjung, khususnya dalam urusan jual beli hasil pertanian serta produk tempatan yang menjadi antara kegiatan ekonomi masyarakat Tebedu.
“Pada masa sama, penyediaan ruang perniagaan yang lebih tersusun dapat membantu pengusaha kecil mengembangkan kegiatan ekonomi dalam persekitaran yang lebih kondusif,” jelasnya.
Katanya, kerja pembinaan projek itu bermula pada 19 Jun 2026 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 18 Oktober 2027 dengan tempoh pelaksanaan selama 16 bulan.
Pelaksanaan kedua-dua projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha GKCDA memperkukuh kemudahan infrastruktur ekonomi dan meningkatkan potensi pembangunan Tebedu sebagai pusat perdagangan serta pelancongan yang strategik di pintu masuk sempadan Sarawak.


