KUCHING: Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Datuk Sri Syed Hamzah Syed Paie, mengetuai senarai 156 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sarawak pada istiadat pengurniaan di Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau dikurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (P.G.B.K.) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Istiadat yang berlangsung di Dewan Istiadat, Astana Negeri Sarawak itu menyaksikan pengurniaan pelbagai darjah kebesaran, bintang dan pingat sebagai pengiktirafan jasa serta sumbangan penerima dalam bidang masing-masing.

Turut menerima pengiktirafan ialah Allahyarham Dato Abang Bohari Abang Zen, bekas pemimpin masyarakat yang dikurniakan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S.) secara anumerta.
Pengurniaan bagi pihak Allahyarham disempurnakan melalui wakilnya, Abang Jeffery Abang Bohari.
Sementara itu, anakanda Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang juga wartawan Sarawak Tribune, Sharifah Nong-Jasima Syed Junaidi merupakan penerima tunggal Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.).
Bagi Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K.), seramai 15 individu menerima pengiktirafan berkenaan.
Senarai penerima didahului Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sarawak, Pesuruhjaya Pertahanan Awam Mohtar Samat; Pegawai Pendidikan Daerah Julau, Etam Linggi; Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan, Hasbi Ancheh; Jim Apoi serta Pegawai Pendidikan Daerah Kapit, Jarit Jarmit.
Istiadat diteruskan dengan pengurniaan Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B.) kepada 21 penerima yang terdiri daripada pegawai perkhidmatan awam dan anggota agensi penguatkuasaan.
Antara penerima ialah Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sarawak, Kepten Maritim Simon Templer Lo Tusa; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintenden Suffian Abdullah serta Penolong Komisioner Penjara Tajudin Tungal.
Turut menerima pingat sama ialah Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintenden Rowney Michael Jalak dan Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Manggie.
Bagi Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Ahli Bintang Sarawak (A.B.S.), seramai 14 individu menerima pengurniaan yang didahului Chew Chin Yong @ Chew Ching Siong, Jong Lit Shian, Lim Guan Tiaw, Lim Lian Kee dan Lim Goi Tong.
Manakala Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K.) dikurniakan kepada 20 penerima, antaranya Abang Nasruldy Asra Abang Tasbi, Anchin @ Ancheh Litak, Arando Arthur, Benjamin Jacobus Pieter dan Denis Ahkow.
Selain itu, seramai 41 individu menerima Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T.) yang didahului Amirudin Morshidi, Abang Senawi Abang Mansor, Billy Shilton Sugai, Chong Chung Hieng, Insol Bindu dan Juing Ullie.
Pengurniaan diakhiri dengan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Bentara Bintang Sarawak (B.B.S.) yang melibatkan 43 penerima.
Antara yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Azuan Jemat, Anlody Rutel, Bujus Kian, Chong Wee Lin, Felix Ngui dan Ismail Sait.
Keseluruhan seramai 1,350 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sarawak 2026 sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu, sekali gus mencerminkan penghargaan Kerajaan Sarawak terhadap khidmat bakti, dedikasi serta sumbangan individu daripada pelbagai sektor.
Turut hadir pada istiadat berkenaan ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

