MIRI: Teras amanah dalam kepimpinan menjadi asas kepada pembangunan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, amanah merupakan ajaran penting dalam Islam dan tanggungjawab yang semua umat wajib pikul dengan sebaik-baiknya.
“Setiap individu yang memikul amanah perlu menyedari bahawa segala perkara yang dilaksanakan akan dipersoalkan pada kemudian hari.

“Begitu juga saya, diberi amanah sembilan tahun untuk memimpin Sarawak selepas arwah Tok Nan.
“Sarawak mempunyai masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama.
Alhamdulillah, kita dapat mengurus pembangunan masyarakat itu sendiri berteraskan amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Muktamar Pengurusan dan Pengimarahan Masjid Sarawak Sempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 1448H/2026M Zon Utara di Hotel Pullman Miri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari menjelaskan individu yang diberi kepercayaan untuk memikul amanah perlu berintegriti dalam melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.
“Ini termasuk barisan kepimpinan Sarawak yang terdiri daripada pemimpin Islam serta bukan Islam.
Mereka menjalankan tugas dengan penuh amanah,” ujarnya.
Sehubungan itu, Abang Johari menekankan pengurusan institusi masjid juga perlu berteraskan amanah dan integriti dalam memastikan tanggungjawab membangunkan ummah serta masyarakat dapat dilaksanakan dengan baik.
“Pengurusan masjid merupakan amanah besar kerana membabitkan pengurusan rumah Allah.
Amanah tersebut berat dan mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” ringkasnya.

