ARTIKEL

Milton Foo (tengah) bersama-sama mangsa dan ahli keluarganya menunjukkan laporan polis, gambar kejadian serta bukti ugutan yang diterima susulan kes pinjaman dalam talian ketika sidang media di Kuching.

Pinjaman dalam talian: Keluarga hidup dalam ketakutan, diugut bakar rumah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gara-gara membuat pinjaman dalam talian sebanyak SGD200 (kira-kira RM600), seorang lelaki berusia 37 tahun bersama-sama keluarganya berdepan ugutan berterusan sehingga ibunya membayar RM10,000, namun masih dituntut menyerahkan tambahan SGD20,500 (kira-kira RM65,400).

Ketua Biro Aduan Awam SUPP, Milton Foo berkata, keadaan bertambah buruk apabila rumah keluarga mangsa di Kuching disimbah cat putih bersama dengan dua kenderaan mereka, selain menerima ugutan untuk membakar kediaman berkenaan.

Milton Foo berkata, mangsa yang dikenali sebagai Tay dan bekerja di Singapura sejak lebih dua tahun lalu pada mulanya tertarik dengan iklan pinjaman wang di media sosial, dipercayai Facebook, sebelum berurusan dengan individu terbabit melalui WhatsApp.

“Tay menerima pinjaman SGD200 (RM638) pada 10 November lalu dan membuat bayaran balik SGD300 (kira-kira RM958), termasuk faedah SGD100 (RM319), pada 13 November seperti yang dipersetujui.

“Bagaimanapun, pihak yang menawarkan pinjaman mendakwa bayaran itu tidak diterima akibat masalah teknikal sebelum menuntut tambahan SGD3,000 (kira-kira RM9,577) daripada mangsa,” katanya pada sidang media hari ini.

Foo berkata, individu terbabit kemudian mula mengganggu keluarga Tay di Kuching sehingga ibunya yang bimbang akan keselamatan anaknya mengambil keputusan memindahkan RM10,000 ke sebuah akaun bank tempatan.

Namun katanya, selepas menerima wang tersebut, individu sama didakwa menuntut tambahan SGD20,500 (kira-kira RM65,400) dengan alasan laporan polis yang dibuat menyebabkan masalah pada akaun bank mereka.

Menurutnya, gangguan itu semakin serius apabila rumah keluarga berkenaan disimbah cat putih kira-kira jam 3 pagi pada 17 November lalu, termasuk dua kereta dan kawasan anjung rumah.

“Keluarga itu turut menerima rakaman video mengandungi ugutan untuk membakar rumah, menyebabkan kedua-dua ibu bapa Tay yang sudah berusia hidup dalam ketakutan.

“Bimbang akan keselamatan mereka, Tay mengambil keputusan berhenti kerja di Singapura dan pulang ke Kuching, manakala keluarganya turut mempertimbangkan untuk menjual rumah yang didiami selama kira-kira 30 tahun,” katanya.

Foo berkata, gangguan didakwa masih berterusan apabila individu tidak dikenali membuat pesanan makanan melalui GrabFood menggunakan alamat rumah mangsa dengan kaedah bayaran tunai semasa penghantaran.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai keselamatan data peribadi selepas individu terbabit didakwa memiliki maklumat terperinci keluarga Tay termasuk nombor kad pengenalan, alamat rumah, gambar serta hubungan kekeluargaan, sedangkan mangsa hanya memberikan nama dan nombor telefon ibunya.

“Sumber maklumat tersebut masih belum dikenal pasti dan saya menggesa pihak berkuasa menyiasat bagaimana butiran peribadi keluarga berkenaan diperoleh serta digunakan untuk melakukan ugutan.

“Keluarga mangsa membuat laporan kepada polis Malaysia, manakala polis Singapura dilaporkan sudah menghubungi Tay bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, Foo mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai tawaran pinjaman melalui media sosial dan hanya berurusan dengan pemberi pinjaman berlesen kerana kegiatan sedemikian bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah boleh mengancam keselamatan seluruh keluarga.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU