BINTANGOR: Helah seorang lelaki berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan beg pinggang berisi wang tunai dan barang kemas di sebuah kedai di Jalan Mahkamah, di sini, terbongkar apabila ditahan polis, hari ini.
Suspek berusia 23 tahun dipercayai mengambil kesempatan mencuri beg berkenaan ketika pemiliknya mengambil barangan yang diminta, sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta yang dinaiki rakannya.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Tansli Mering berkata, suspek ditahan kira-kira 11 pagi di tepi Jalan Mahkamah hasil risikan dan operasi mengesan suspek (Op Kesan) susulan laporan polis yang diterima pada 17 November lalu.
“Tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong yang diketuai Inspektor Arnold Lee.
“Hasil soal siasat awal, suspek dipercayai mengaku terlibat dalam kejadian itu dan memaklumkan bahawa dia memasuki kedai berkenaan seorang diri dengan berpura-pura mahu membeli barangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tansli berkata, suspek dipercayai mengambil beg pinggang yang diletakkan di atas meja ketika pengadu leka mendapatkan barangan diminta, sebelum bergegas keluar menuju ke kereta yang menunggunya.
Bagaimanapun, berdasarkan keterangan awal suspek, rakannya hanya berada di dalam kenderaan dan tidak memasuki premis ketika kejadian berlaku.
Beliau berkata, suspek dibawa ke IPD Meradong untuk siasatan lanjut dan dijadualkan dibawa ke mahkamah pada Jumaat bagi mendapatkan perintah reman.
Tegasnya, polis akan terus mempergiat operasi mengesan individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah serta mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang bagi memastikan keselamatan masyarakat terpelihara.



