BINTULU: Pembangunan pesat sektor perindustrian di Bintulu, khususnya di kawasan Tanjung Kidurong dan Samalaju, perlu diseimbangkan dengan usaha pemeliharaan alam sekitar bagi memastikan kelestarian sumber semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata kemajuan ekonomi yang dicapai menerusi pembangunan industri dan pelabuhan tidak seharusnya menyebabkan aspek pemeliharaan alam sekitar dipinggirkan.
Beliau berkata, sungai merupakan sumber kehidupan penting yang bukan sahaja membekalkan keperluan harian, malah berperanan sebagai habitat semula jadi serta menyokong keseimbangan ekosistem.

“Sejak dahulu lagi, sungai menjadi laluan utama, tempat mencari makan serta punca rezeki dan sehingga hari ini peranannya masih penting untuk keperluan harian serta keseimbangan alam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penangguhan Program Kesedaran Bersama Komuniti Program di bawah Projek River Recovery Sungai Plan 2026, di sini, pada Khamis.
Menurut Majang, kelestarian alam sekitar merupakan antara tiga fokus utama di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030), selain kemakmuran ekonomi dan keterangkuman sosial.

Katanya, hala tuju itu turut diperkukuh menerusi Pelan Hala Tuju Kelestarian Sarawak 2030 (Sarawak Sustainability Blueprint 2030) dan Dasar Alam Sekitar Sarawak (Sarawak Environmental Policy)
yang dilancarkan pada 5 November lalu, sebagai panduan menyeluruh dalam usaha memelihara alam sekitar, menangani perubahan iklim serta meningkatkan tanggungjawab bersama.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyifatkan kejayaan penanaman 1,000 anak pokok di sepanjang tebing Sungai Plan menerusi Program Kesedaran Bersama Industri pada Oktober lalu sebagai pencapaian membanggakan dalam usaha memulihkan ekosistem sungai berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu tidak seharusnya terhenti setakat aktiviti penanaman, sebaliknya perlu disusuli dengan pemantauan dan penjagaan berterusan bagi memastikan anak pokok berkenaan terus hidup dan membesar.



