KUCHING: Seorang pemuda berusia 20 tahun terlepas daripada hukuman penjara selepas Mahkamah Majistret di sini memerintahkannya menjalani bon berkelakuan baik selama setahun kerana menyimpan seketul batu jed curi.
Majistret Leona Dominic Mojiliu menjatuhkan perintah itu selepas tertuduh mengaku bersalah ke atas pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, selain menetapkan bon sebanyak RM1,500 tanpa deposit dengan seorang penjamin tempatan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menyimpan seketul batu jed curi milik seorang lelaki berusia 41 tahun di sebuah rumah berhampiran Jalan Stutong Baru, kira-kira 3.10 petang pada 21 September lalu.
Berdasarkan fakta kes, pengadu menyedari premisnya berhampiran Jalan Stampin Baru dipecah masuk selepas mendapati pintu pagar menuju ke tangga terbuka, mangga rosak dan terdapat kesan diumpil pada pintu tingkat atas.
Pemeriksaan lanjut mendapati pelbagai barangan hilang, termasuk 10 unit penyaman udara, 10 pemampat penyaman udara, 15 soket elektrik, empat televisyen bersaiz 50 inci jenama Sony dan Samsung serta 50 utas gelang kristal, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM25,000.
Susulan laporan polis dibuat, siasatan membawa kepada penahanan tertuduh yang didapati menyimpan seketul batu jed dikenal pasti sebagai antara barangan curi, manakala barangan yang dilaporkan hilang kemudiannya ditemukan semula dan dirampas polis.
Ujian saringan dadah terhadap tertuduh turut menunjukkan keputusan negatif.
Bagi kesalahan tersebut, Seksyen 411 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala tertuduh diwakili peguam Louis Law Jia Yuan.

