ARTIKEL

Pesakit berpotensi berhubung dengan doktor menerusi AI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Pesakit di Sarawak berpotensi mendapatkan khidmat doktor di Shanghai tanpa perlu bertemu secara fizikal menerusi sistem perundingan maya yang menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data kesihatan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, konsep itu antara perancangan yang difahaminya sedang diteroka Pengasas dan Pengerusi Imasa Dinasti Sdn Bhd, Ar. Teo Ah Khing, menerusi inisiatif Universiti Fudan, China.

Beliau berkata, menerusi sistem itu, maklumat kesihatan pesakit dapat dikumpulkan dalam satu platform untuk dianalisis menggunakan AI, sebelum disemak dan disahkan oleh doktor.

“Apa yang saya faham, Teo (Ar. Teo Ah Khing) mempunyai perancangan untuk membawa tradisi Fudan ke sini, termasuk sistem yang membolehkan pesakit berhubung secara langsung dengan doktor di Shanghai.

“Semua data akan disatukan dalam satu platform dan pesakit boleh berinteraksi dengan doktor maya. Pendekatan berkenaan berpotensi memperluas akses kepada kepakaran perubatan, termasuk membolehkan pesakit mendapatkan pandangan doktor dari lokasi berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Konvensyen dan Pameran Kenyalang One serta Upacara Pecah Tanah Taman Tema Air Pengembaraan Borneo di Kenyalang Smart City (KSC), Senadin, hari ini.

Abang Johari menjelaskan bahawa doktor maya itu boleh menggunakan paparan wajah doktor sebenar, termasuk wajah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, sebagai representasi digital untuk berinteraksi dengan pesakit.

Beliau bagaimanapun berkata, kepakaran dan pengalaman doktor tetap penting dalam memastikan maklumat serta hasil analisis teknologi itu dinilai dengan sewajarnya.

Dalam pada itu, beliau memuji usaha Universiti Fudan meneroka pendekatan perubatan integratif yang menggabungkan perubatan Barat dan Timur bagi menawarkan rawatan lebih bersesuaian dengan keperluan pesakit.

“Penggunaan teknologi berkenaan turut memerlukan cip semikonduktor berprestasi tinggi bagi memproses data dalam jumlah besar dengan pantas,” jelasnya.

Beliau berkata, gabungan AI, data pintar dan teknologi robotik dijangka memainkan peranan lebih besar dalam perkembangan bidang perubatan serta industri pada masa depan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Masyarakat Dayak tidak terpengaruh Buku Biru PBDS

PADAWAN: Masyarakat Dayak diingatkan agar tidak terpengaruh dengan Buku Biru Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) berkaitan pengurusan dan pengiktirafan Hak Tanah Adat Bumiputera (NCR). Timbalan

Masyarakat Bidayuh dinasihat tidak terpengaruh kempen PBDS

PADAWAN: Masyarakat Bidayuh dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan kempen politik Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), sebaliknya menilai kemampuan sesebuah parti dalam memperjuangkan kepentingan rakyat