ARTIKEL

Ujian teknikal dalaman Sistem Amaran Awal (EWS) dijalankan bersama Ketua-Ketua Pengarang dan wakil media.

Rakyat Disaran Kemas Kini Telefon Bagi Persediaan Menerima Amaran EWS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyeru orang ramai supaya mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing sebagai persediaan menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal (Early Warning System – EWS), sistem amaran kecemasan negara yang sedang dilaksanakan secara berfasa.

Dalam satu kenyataan, MCMC menjelaskan EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran kecemasan dihantar secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi yang dikenal pasti, tanpa memerlukan pengguna memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan perkhidmatan khusus.

Sesi taklimat MCMC bersama Ketua-Ketua Pengarang dan wakil media berhubung pelaksanaan Sistem Amaran Awal (EWS) pada 19 November 2026.

“Sebagai panduan awal, keperluan minimum peranti bagi menyokong penerimaan amaran EWS adalah seperti berikut, tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir.

“Apple iPhone, iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini. Android, telefon yang menggunakan Android 12 atau versi terkini.

“Huawei, telefon yang menggunakan EMUI 16 atau versi terkini,” jelas kenyataan tersebut.

Pengguna turut disarankan supaya memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia untuk peranti masing-masing, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini dan memastikan tetapan ‘Amaran Kecemasan’ diaktifkan, sekiranya berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, MCMC hari ini mengadakan sesi taklimat khas bersama dengan Ketua-Ketua Pengarang media bagi memperkenalkan EWS, menjelaskan mekanisme penyampaian amaran serta memperkukuh kerjasama media dalam meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat.

Sesi tersebut turut disertai demonstrasi melalui ujian teknikal dalaman di bangunan MCMC, Cyberjaya.

MCMC menjelaskan bahawa aktiviti pada 19 November ini merupakan ujian teknikal dalaman bagi tujuan penilaian dan penambahbaikan sistem sebagai persediaan ke arah pelaksanaan yang lebih meluas. Pelaksanaan ujian pada skala lebih luas akan dibuat secara berfasa.

“Pelaksanaan EWS melibatkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memperkukuh keupayaan negara menyampaikan amaran kecemasan dengan lebih pantas dan bersasar.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa peka akan maklumat rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan.

“EWS melengkapi saluran amaran sedia ada sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi bencana,” tambah kenyataan tersebut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

WAKIL INDONESIA CABAR TIGA PASUKAN KUCHING

KUCHING: Putra Rantau dari Kalimantan Barat, Indonesia bakal menguji kekuatan tiga pasukan tempatan dalam Piala RHB Empat Penjuru Edisi Kedua 2026 yang menghimpunkan 88 pemain