KUCHING: Putra Rantau dari Kalimantan Barat, Indonesia bakal menguji kekuatan tiga pasukan tempatan dalam Piala RHB Empat Penjuru Edisi Kedua 2026 yang menghimpunkan 88 pemain di Padang Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA), Sabtu ini.

Kejohanan yang berlangsung pada 21 November itu menampilkan Anggun FC, Jengenn FC dan Harkonen FC sebagai pencabar tempatan, dengan enam perlawanan dijadual berlangsung dari 7 hingga 11 malam.

Pengerusi pertandingan, Razak Hashim berkata, penyertaan pasukan dari Indonesia itu turut memperluas jaringan persahabatan bola sepak merentas sempadan, selain memberi peluang kepada pemain amatur menguji kemampuan masing-masing.
“Pertandingan ini dianjurkan atas permintaan pasukan sekitar Kuching yang mahukan persaingan yang lebih luas.
“Kita mahu mengeratkan silaturahim serta memberi peluang kepada pemain membina hubungan persahabatan dengan pasukan lain,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Menurut Razak, kejohanan empat penjuru itu turut menjadi platform mengenal pasti bakat baharu, khususnya dalam kalangan pemain yang berpotensi melangkah ke pertandingan lebih tinggi di Sarawak.
“Kita mahu memberi pendedahan kepada pasukan yang sedang membina kekuatan, sekali gus memberi peluang kepada pemain yang mempunyai potensi melangkah lebih jauh dan bersaing dalam kejohanan lebih besar pada masa depan,” jelasnya.
Jengenn FC akan membuka tirai menentang Harkonen FC pada 7 malam, diikuti Putra Rantau berdepan Anggun FC pada jam 7.40 malam.

Harkonen FC kemudian membuat perhitungan dengan Putra Rantau pada 8.20 malam, manakala Anggun FC menentang Jengenn FC pada 9 malam.
Dua perlawanan terakhir pula menyaksikan Jengenn FC bertemu Putra Rantau pada 9.40 malam sebelum Harkonen FC melengkapkan jadual menentang Anggun FC pada 10.20 malam.
Razak berkata, penganjuran Piala RHB Empat Penjuru dirancang secara bulanan bagi memastikan pasukan amatur mempunyai kesinambungan pertandingan, dengan edisi ketiga dijadual berlangsung pada Disember dan edisi keempat pada Januari 2027.

Kemuncak pertandingan pula dirancang pada Februari 2027 menerusi Piala Juara-Juara Empat Penjuru yang bakal mempertemukan juara daripada empat edisi terdahulu.
Menurutnya, pendekatan itu dapat membantu meningkatkan mutu permainan, selain memberikan peluang kepada pasukan membuat persiapan secara lebih tersusun untuk menghadapi kejohanan seterusnya.
Setiap pasukan akan menerima piala dan pingat berdasarkan kedudukan masing-masing, manakala anugerah individu Pemain Terbaik serta Penjaga Gol Terbaik turut disediakan.

