ARTIKEL

SK Pinang harumkan nama Sarawak, raih emas di Wuhan menerusi inovasi mesra alam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bermula daripada masalah gangguan bekalan air dan lambakan sisa buangan di kawasan kediaman, dua idea yang tercetus daripada pemerhatian persekitaran akhirnya membawa pasukan Eco Mind SK Pinang mengharumkan nama Sarawak di pentas antarabangsa.

Menerusi gabungan inovasi sistem penapisan air Heaven dan penghasilan baja cecair Earth, pasukan itu berjaya meraih pingat emas serta naib johan pada Sidang Kemuncak Inovasi Teknologi Antarabangsa (IITS) 2026 di Wuhan, China, pada 7 dan 8 November lalu.

Didi dan pasukan Eco Mind merakam kenangan bersama-sama delegasi selepas menyertai Sidang Kemuncak Inovasi Teknologi Antarabangsa (IITS) 2026 di Wuhan, China.

Kejayaan itu diraih dalam kategori Pencapaian Pembuat Inovasi Teknologi (Sekolah Rendah), selain menduduki tempat kedua daripada 50 penyertaan berdaftar dalam pertandingan anjuran ShengXuan dan Eduwell Sdn Bhd berkenaan.

Guru SK Pinang, Didi Udin berkata, kedua-dua inovasi itu bukan sekadar memenuhi keperluan pertandingan, sebaliknya lahir daripada usaha mencari penyelesaian masalah sebenar yang dihadapi masyarakat.

“Idea menghasilkan Heaven tercetus apabila kami melihat masalah gangguan bekalan air di kawasan kampung, sedangkan terdapat anak sungai yang mengalir berhampiran kawasan kediaman.

Pasukan Eco Mind ketika menyertai Sidang Kemuncak Inovasi Teknologi Antarabangsa (IITS) 2026 di Wuhan, China.

“Keadaan itu mendorong kami membangunkan sistem penapisan air secara manual yang boleh digunakan sebagai alternatif ketika kecemasan, khususnya apabila bekalan air terputus,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurutnya, Earth pula dibangunkan bagi menangani masalah lambakan sisa buangan, terutama lebihan sayur-sayuran dan bahan organik yang sering dibuang begitu sahaja.

Pasukan Eco Mind ketika menyertai Sidang Kemuncak Inovasi Teknologi Antarabangsa (IITS) 2026 di Wuhan, China.

“Melalui inovasi ini, bahan buangan berkenaan diproses menjadi baja dalam bentuk cecair untuk kegunaan tanaman, sekali gus membantu mengurangkan kos pembelian baja dan berpotensi menambah pendapatan melalui aktiviti berkebun sayur,” katanya.

Rayner Angkan James dan Khayrin Auni Ilyana Seruji fokus ketika menyertai Sidang Kemuncak Inovasi Teknologi Antarabangsa (IITS) 2026 di Wuhan, China.

Selain itu, Didi memberitahu, inovasi Heaven mula dibangunkan pada Januari 2026, manakala penyertaan di Wuhan merupakan kesinambungan kepada usaha penambahbaikan projek berkenaan selepas pasukan itu menyertai pertandingan di Jakarta pada Jun lalu.

Katanya lagi, kedua-dua inovasi itu kemudiannya digabungkan dan ditambah baik sehingga membentuk satu projek yang lebih menyeluruh sebelum dibawa ke pertandingan antarabangsa di China.

Mengulas nama pasukan itu, beliau menjelaskan semangat Eco Mind membawa maksud pemikiran yang berteraskan kelestarian alam sekitar, dengan menekankan kesedaran terhadap keseimbangan ekosistem, amalan kitar semula dan pemeliharaan alam.

Pasukan Eco Mind ketika menyertai Sidang Kemuncak Inovasi Teknologi Antarabangsa (IITS) 2026 di Wuhan, China.

Pasukan berkenaan turut digerakkan oleh seorang lagi guru, Siti Norasyikin Addris bersama-sama dua murid, Rayner Angkan James dan Khayrin Auni Ilyana Seruji.

Didi turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kerajaan Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta MIETD Sarawak atas sokongan berterusan.

Justeru, beliau berharap kejayaan itu menjadi pencetus inspirasi kepada lebih banyak sekolah untuk terus meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain membina keyakinan murid untuk mencuba, terus belajar dan berani mencabar kemampuan diri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

WAKIL INDONESIA CABAR TIGA PASUKAN KUCHING

KUCHING: Putra Rantau dari Kalimantan Barat, Indonesia bakal menguji kekuatan tiga pasukan tempatan dalam Piala RHB Empat Penjuru Edisi Kedua 2026 yang menghimpunkan 88 pemain