SIBU: Seorang bapa dan anak lelakinya yang masih di bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, manakala anak saudara kepada lelaki terbabit turut berdepan pertuduhan berasingan berkaitan kejadian sama.
Ketiga-tiga tertuduh dihadapkan ke mahkamah pada Rabu susulan kejadian yang berlaku di sebuah taman perumahan di Jalan Gambir, kira-kira 12.30 tengah malam, 7 November lalu.
Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan dan anaknya didakwa melakukan pembunuhan secara bersama-sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Romario Jonoi memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi tertuduh dewasa, Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, selain sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya hukuman mati tidak dijatuhkan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada kedua-duanya dan menetapkan 28 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes sementara menunggu prosiding dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Sementara menunggu tarikh berkenaan, tertuduh pertama diperintahkan ditahan di penjara, manakala anak lelakinya ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti, Kuching.
Dalam prosiding berasingan, seorang lagi remaja lelaki yang merupakan anak saudara kepada tertuduh pertama turut dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda bagi kesalahan berkaitan menghilangkan keterangan atau memberikan maklumat palsu untuk melindungi pesalah, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai.
Remaja terbabit bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh ketiga dibebaskan dengan jaminan RM2,000 dengan ibu bapanya bertindak sebagai penjamin.
Kes terhadap remaja itu turut ditetapkan untuk pengurusan kes pada 28 Disember depan.

