MIRI: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menjadi petunjuk penting kepada polis untuk mengesan seorang lelaki berusia 22 tahun yang disyaki menyamun dan cuba merogol seorang wanita di bilik sewanya di Kuala Baram, Senadin, di sini.
Dalam kejadian pada 12 November lalu, mangsa turut diugut untuk ditikam menggunakan sebilah pisau sebelum suspek melarikan beberapa barangan miliknya, termasuk kad pengenalan, telefon bimbit, wang tunai dan beg tangan.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 2.43 petang pada hari sama.
Menurutnya, semakan rakaman CCTV yang dipasang di tingkat bawah premis kedai berkenaan mendapati suspek memasuki bangunan kira-kira 8.17 pagi sebelum menuju ke bilik sewa mangsa.
“Bagaimanapun, suspek dilihat meninggalkan premis kira-kira 8.30 pagi selepas mangsa menjerit meminta pertolongan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Farhan berkata, hasil siasatan dan usaha mengesan suspek, sepasukan polis berjaya menahan lelaki tempatan berkenaan kira-kira 9.08 malam pada 17 November lalu.
Katanya, tangkapan dilakukan di tingkat satu sebuah bangunan kedai di Bandar Baru Permyjaya, Tudan, oleh sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pusat Miri bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap suspek membawa kepada penemuan dan rampasan beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian, termasuk pakaian, sebilah pisau lipat dan sekeping kad pengenalan.
“Semua barangan berkenaan dirampas bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Farhan berkata, rakaman CCTV memainkan peranan penting dalam membantu pihak polis mengenal pasti dan mengesan individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai supaya terus bekerjasama dengan polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Miri di talian 085-433400 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

