BAU: Sebanyak 25 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan polis di hadapan sebuah sekolah di daerah ini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bau itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan motosikal, khususnya pengubahsuaian yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.
Menurutnya, seramai 32 individu dan 30 motosikal diperiksa sepanjang operasi selama sejam bermula 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 25 saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala dua motosikal disita bagi tujuan siasatan dan dokumentasi lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kesalahan mengubah suai ekzos mencatat jumlah tertinggi dengan sembilan saman, diikuti pengubahsuaian struktur atau peralatan motosikal sebanyak enam saman.
Selain itu katanya, empat saman dikeluarkan kerana tidak mempunyai cermin sisi, tiga kerana gagal mempamerkan pelekat lesen memandu percubaan (P) dan dua lagi membabitkan nombor pendaftaran yang tidak mengikut peraturan.
Turut dikesan ialah satu kesalahan tidak mempunyai brek belakang, sekali gus menimbulkan kebimbangan tahap keselamatan motosikal yang digunakan di jalan raya.
Mohd Haide berkata, operasi yang diketuai seorang pegawai kanan polis bersama-sama empat anggota itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya, khususnya dalam kalangan penunggang motosikal.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penunggang, terutama pelajar dan golongan muda, supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan dengan melakukan pengubahsuaian motosikal yang melanggar peraturan.
“Setiap motosikal perlu berada dalam keadaan baik, termasuk mempunyai sistem brek yang berfungsi, dilengkapi cermin sisi serta menggunakan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi ditetapkan,” jelasnya.
Beliau turut menyeru ibu bapa dan penjaga agar lebih peka dengan keadaan motosikal serta tingkah laku anak-anak ketika menunggang bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko kemalangan.
Tegasnya, tindakan penguatkuasaan bukan bertujuan menyusahkan pengguna jalan raya, sebaliknya mendidik masyarakat supaya lebih berdisiplin serta mengutamakan keselamatan.
BSPTD Bau akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membendung pelanggaran peraturan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

