ARTIKEL

Abang Johari ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas, di sini, malam tadi.F: UKAS

Sarawak rancang bangunkan grid air bernilai RM8.1 bilion dalam tempoh lima tahun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LAWAS: Kerajaan Sarawak merancang membangunkan rangkaian grid air di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun akan datang dengan kos RM8.1 bilion bagi memastikan bekalan air terawat dapat disalurkan secara menyeluruh kepada rakyat.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan itu melibatkan pembinaan rangkaian saluran paip baharu serta loji rawatan air bagi memperkukuh sistem bekalan air di seluruh negeri ini.

Menurutnya, kerajaan menganggarkan perbelanjaan sebanyak RM1.6 bilion setahun untuk memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan secara berperingkat.

“Jadi, rakyat tidak perlu bimbang kerana sumber kewangan untuk membiayai pembangunan ini sebenarnya sudah tersedia. Jika keseluruhan kos projek berjumlah RM8.1 bilion, perbelanjaannya dianggarkan RM1.6 bilion setahun.

“Saya sudah menyediakan peruntukan daripada sektor air, beri kepada air dengan menyalurkan lebih RM1 bilion setiap tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau menambah, pembangunan rangkaian paip baharu itu kelak membolehkan bekalan air terawat disalurkan dari Telok Melano hingga ke Lawas.

“Usaha ini juga dapat memperluas akses bekalan air kepada penduduk di sepanjang kawasan berkenaan,” ujarnya.

Mengulas masalah bekalan air yang dibangkitkan Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Lawas, beliau memberitahu sistem pengambilan air sedia ada perlu dikaji semula bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan.

Sementara itu, berkaitan keyakinan pelabur, Abang Johari menegaskan kestabilan politik dan keamanan kekal menjadi faktor penting dalam menarik pelaburan ke Sarawak.

“Pelabur mahu melabur di tempat yang aman dan selamat. Alhamdulillah, Sarawak kekal aman dan makmur,” katanya lagi.

Beliau menyatakan, Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) turut menekankan keterangkuman sosial, dengan Kerajaan Sarawak terus menggalakkan kerjasama dan perpaduan antara masyarakat tanpa mengira agama atau latar belakang.

“Kita tidak mendiskriminasi sesiapa berdasarkan kepercayaan agama atau latar belakang mereka. Sebaliknya, kita terus berinteraksi, bekerjasama dan berganding bahu dalam mentadbir Sarawak,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU