ARTIKEL

Polis siasat kehilangan tiga peralatan komputer di Goldhill Estate


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Kehilangan tiga peralatan komputer dari sebuah rumah yang dijadikan ruang kerja syarikat di Goldhill Estate, Jalan Bidi Taiton, hanya dilaporkan kepada polis tiga hari selepas kejadian disedari.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, kejadian itu disedari seorang juruukur bahan berusia 27 tahun kira-kira 10.15 pagi pada 15 November lalu.

Menurutnya, pengadu mendapati sebuah komputer meja, monitor jenama BenQ dan tetikus yang diletakkan di ruang tamu rumah berkenaan telah hilang, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM250.

“Rumah berkenaan disewa oleh sebuah syarikat pembangunan untuk tujuan kerja dan pengadu menyedari kehilangan peralatan terbabit ketika berada di premis tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pengadu bagaimanapun hanya membuat laporan di Balai Polis Siniawan pada jam 10.54 pagi, 18 November lalu, selepas diarahkan berbuat demikian oleh pihak syarikat.

Menurutnya, siasatan awal mendapati premis berkenaan merupakan sebuah rumah di kawasan perumahan yang digunakan sebagai ruang kerja dan bukannya pejabat tetap.

“Pemeriksaan mendapati kawasan rumah tersebut berpagar, namun tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

“Pengadu juga tidak mengesyaki mana-mana individu terbabit dalam kejadian itu, namun terdapat saksi mata yang boleh membantu siasatan,” katanya.

Mohd Haide berkata, susulan laporan diterima, pegawai penyiasat menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, termasuk mengambil gambar serta menyediakan rajah kasar tempat kejadian.

Katanya, anggota detektif Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau turut diarahkan menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek yang terlibat.

“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan atau rampasan dilakukan dan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dalam bangunan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU