ISTANBUL/WASHINGTON: Hakeem Jeffries pada Rabu memenangi pencalonan Parti Demokrat bagi jawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), sambil berikrar menangani peningkatan kos sara hidup apabila parti itu mengambil alih kawalan dewan berkenaan pada Januari, lapor Anadolu Ajansi.
Media AS melaporkan Jeffries memperoleh 251 undi berbanding 11 undi menentang dalam pengundian tertutup yang dihadiri anggota Dewan Perwakilan Demokrat sedia ada dan yang baru dipilih.
“Merupakan satu penghormatan besar dan keistimewaan bagi saya untuk berdiri di hadapan rakyat Amerika hari ini sebagai calon Parti Demokrat bagi jawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang baharu,” kata beliau kepada pemberita selepas pengundian itu.
Pencalonan itu membuka laluan kepada anggota Demokrat dari New York berkenaan untuk menjadi Speaker Dewan Perwakilan berkulit hitam pertama dalam sejarah AS, namun beliau masih perlu dipilih oleh seluruh anggota dewan apabila penggal baharu Kongres bermula pada 3 Jan 2027.
Parti Demokrat turut memilih anggota Dewan Perwakilan dari Massachusetts, Katherine Clark sebagai Ketua Majoriti yang baharu dan anggota Dewan Perwakilan dari California, Pete Aguilar sebagai Ketua Whip Majoriti.
Jeffries berkata kepimpinan baharu Demokrat akan mengutamakan usaha menangani kos sara hidup, termasuk mengurangkan harga barangan runcit, petrol, perumahan dan kos penjagaan kesihatan.
“Kami akan berjuang untuk memastikan kehidupan di Amerika lebih mampu ditanggung rakyat,” katanya.
Beliau juga berkata Demokrat akan menuntut akauntabiliti terhadap apa yang disifatkannya sebagai rasuah dan salah laku di bawah pentadbiran Trump.
“Keadaan sedia ada tidak boleh diterima dan kami komited untuk membawa perubahan bermakna yang sewajarnya dinikmati rakyat Amerika,” katanya.
Pencalonan Jeffries dibuat meskipun mendapat tentangan daripada beberapa anggota Demokrat, yang menuntut komitmen lebih tegas dalam isu penjagaan kesihatan, penguatkuasaan imigresen, pembiayaan kempen politik dan dasar AS terhadap Israel.
Speaker Dewan Perwakilan dipilih berdasarkan majoriti undi, lazimnya memerlukan 218 undi sekiranya kesemua 435 anggota mengambil bahagian.- BERNAMA-ANADOLU


