ARTIKEL

TINJAUAN…Lawatan kerja ke lima lokasi yang dikenal pasti sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi bagi empat kawasan DUN di Padawan semalam.

PRU Sarawak Ke-13: Polis Padawan adakan lawatan kerja ke lima lokasi penamaan calon, penjumlahan undi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADAWAN: Aspek keselamatan, kawalan lalu lintas dan pengurusan kehadiran penyokong parti politik menjadi antara tumpuan utama polis menjelang proses penamaan calon serta penjumlahan undi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.

Sehubungan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan mempergiat persiapan dengan mengadakan lawatan kerja ke lima lokasi yang dikenal pasti sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi bagi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Lawatan yang diketuai Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William itu melibatkan kawasan DUN Kota Sentosa, Batu Kitang, Batu Kawa dan Mambong bagi memastikan segala keperluan keselamatan dikenal pasti lebih awal.

TINJAUAN…Lawatan kerja ke lima lokasi yang dikenal pasti sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi bagi empat kawasan DUN di Padawan semalam.

Menurut kenyataan IPD Padawan, pemeriksaan tersebut memberi tumpuan kepada keadaan fizikal setiap lokasi, termasuk kesesuaian penempatan anggota polis, kawalan di pintu masuk dan keluar serta pengurusan lalu lintas sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

“Perhatian turut diberikan dengan kemungkinan kesesakan susulan kehadiran calon, penyokong parti politik dan orang awam, khususnya di kawasan yang dijangka menjadi tumpuan pada hari penamaan calon dan penjumlahan undi,” kata kenyataan itu.

Lawatan bermula pada 9 pagi di Pejabat Daerah Siburan yang ditetapkan sebagai pusat penamaan calon DUN Mambong, sebelum diteruskan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siburan sebagai pusat penjumlahan undi bagi kawasan sama.

Rombongan kemudian meninjau Majlis Perbandaran Padawan (MPP) yang akan digunakan sebagai pusat penamaan calon bagi DUN Batu Kitang dan Batu Kawa, selain pusat penjumlahan undi DUN Batu Kitang.

Pemeriksaan diteruskan di Perpustakaan Kota Sentosa yang berfungsi sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan undi DUN Kota Sentosa, sebelum lawatan berakhir di Dewan Serbaguna Ang Cheng Ho, iaitu pusat penjumlahan undi DUN Batu Kawa.

Lawatan yang berlangsung hingga jam 12 tengah hari itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Dr Daram Ruer, bersama-sama pegawai kanan polis serta wakil Pejabat Daerah Siburan dan MPP.

Antara yang hadir ialah Setiausaha MPP, Ir. Ts. Goh Thiam Ho dan Pegawai Pentadbiran MPP, Tay Guan Huat.

IPD Padawan memaklumkan bahawa tinjauan tersebut merupakan sebahagian daripada langkah persediaan awal bagi memperkukuh penyelarasan penugasan anggota dan memastikan kawalan keselamatan dapat dilaksanakan secara teratur.

Langkah proaktif itu juga bertujuan memastikan proses penamaan calon dan penjumlahan undi PRU Sarawak Ke-13 dapat berlangsung dalam suasana aman, lancar dan terkawal.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU