ARTIKEL

Cadangan Tebingan Sungai Lawas Berpotensi Jadi Tarikan Baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LAWAS: Cadangan pembangunan Tebingan Sungai Lawas dilihat mampu mewujudkan satu lagi tarikan baharu di kawasan itu, sekali gus memperindah landskap dan meningkatkan daya tarikan bandar berkenaan.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut juga dibincangkan bersama-sama timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang menyuarakan hasrat untuk membina Tebingan Sungai Lawas terbaik di rantau ini.

Katanya, beliau bersetuju dengan cadangan berkenaan, namun belum dapat memberikan kelulusan ketika ini ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.

“Saya bersetuju dengan Datuk Amar Awang Tengah, tetapi dengan satu syarat, saya tidak boleh meluluskannya hari ini kerana saya tidak mempunyai kuasa dan mandat lagi.

“Sekiranya mandat itu diberikan semula pada 12 Disember nanti, insya-Allah cadangan ini akan menjadi kenyataan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas di sini, malam tadi.

Tambahnya, perkara itu dapat dibuktikan menerusi pembinaan jambatan di Sarawak yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan menyediakan kemudahan perhubungan dan itu tidak dijanjikan ketika pilihan raya.

“Bagaimana kita membina Jambatan Bandar Lawas ini?

Kita tidak pernah menjanjikannya ketika pilihan raya, tetapi kita melaksanakannya secara senyap dan memastikan hasilnya dapat dinikmati rakyat,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu pembinaan jambatan berkenaan mencerminkan usaha memodenkan bandar Lawas menerusi pembangunan infrastruktur yang bukan sahaja berfungsi sebagai penghubung, malah menampilkan reka bentuk unik dan luar biasa.

“Kalau kita hendak membina sesuatu, kita mesti hasilkan yang terbaik di dunia. Inilah caranya untuk kita memodenkan bandar kita. Saya ucap tahniah kepada orang Lawas kerana jambatan ini mempunyai reka bentuk yang luar biasa dan berbeza daripada kebiasaan,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, Jambatan Bandar Lawas turut menampilkan reka bentuk unik yang jarang ditemui di Sarawak dan hanya dapat dilihat di negara Eropah.

Abang Johari (tujuh kiri) merakam gambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat di atas Jambatan Bandar Lawas.F:UKAS

“Reka bentuk ini mempunyai nilai budaya dan melambangkan penyatuan masyarakat melalui hubungan silaturahim. Jambatan yang mesra dengan reka bentuknya ini menggambarkan masyarakat Lawas yang begitu ramah, lemah lembut, sentiasa tersenyum dan mempunyai perpaduan erat,” katanya lagi.

Beliau menyatakan, jambatan berkenaan bukan sahaja menghubungkan kawasan Seberang Pasar dan Seberang Kedai dengan bandar Lawas, malah menjadi sebahagian daripada rangkaian jalan raya yang menghubungkan kawasan utara Sarawak hingga ke Brunei Darussalam.

Menurutnya, jaringan jalan raya turut merangkumi laluan dari Miri, Marudi, Mulu, Long Lama dan Long Panai hingga ke Gunung Buda, sekali gus memperkukuh hubungan serta pergerakan masyarakat di kawasan utara negeri ini.

BERITA LAIN

Sejuta rakyat Malaysia alami kemurungan – Fatimah

KUCHING: Kesejahteraan mental perlu diberi perhatian sebagai asas kepada pembentukan keluarga yang kukuh dan komuniti berdaya tahan, khususnya ketika masyarakat berdepan perubahan pesat teknologi serta

BERITA TERBARU