ARTIKEL

Fatimah (dua kiri) menyaksikan pertukaran MoU antara Siti Subariah Mustafa (kiri) dan Patricia Chu (dua kanan) yang turut disaksikan Dr Lam Ching Choi (kanan).

Sejuta rakyat Malaysia alami kemurungan – Fatimah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kesejahteraan mental perlu diberi perhatian sebagai asas kepada pembentukan keluarga yang kukuh dan komuniti berdaya tahan, khususnya ketika masyarakat berdepan perubahan pesat teknologi serta cabaran kehidupan dalam era kecerdasan buatan (AI).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, cabaran kesihatan mental semakin meningkat di seluruh negara dengan kira-kira satu juta rakyat Malaysia dianggarkan mengalami kemurungan, termasuk golongan muda yang berdepan pelbagai tekanan perubahan semasa.

Fatimah (tiga kiri) memukul gendang sebagai simbol perasmian CIFA 2026 disaksikan hadirin lain.

Beliau berkata, situasi di Sarawak turut membimbangkan apabila 35.8 peratus individu dilaporkan mempunyai masalah kesihatan mental, manakala seorang daripada empat individu mengalami gejala kemurungan.

“Angka ini bukan sekadar statistik. Di sebalik setiap angka terdapat seorang anak perempuan, bapa, nenek, pelajar atau penjaga yang masing-masing merupakan sebahagian daripada keluarga dan komuniti.

“Justeru, kesejahteraan mental tidak boleh diserahkan kepada klinik dan hospital semata-mata kerana ia merupakan asas kepada maruah manusia, keluarga yang kukuh serta komuniti yang berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Simposium Serantau Consortium of Institutes on Family in the Asian Region (CIFA) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Fatimah berkata, tema simposium ‘Bridging Bridges: Mental Health and Resilience Across Generations in an AI Era’ amat bertepatan dengan keperluan membina hubungan merentas generasi, merapatkan jurang antara dasar dengan pelaksanaan serta memastikan teknologi terus berperanan untuk kepentingan manusia.

Menurutnya, golongan warga emas, ibu bapa dan anak-anak berdepan perubahan yang sama, namun mengalami cabaran berbeza termasuk kesunyian dalam kalangan warga emas, tekanan kehidupan dalam kalangan golongan muda serta beban penjagaan yang sering dipikul secara senyap oleh penjaga.

“Ketahanan masyarakat akan terbina apabila setiap generasi saling mendengar dan belajar antara satu sama lain. Masa depan perlu dibentuk bersama keluarga dan semua generasi, bukannya ditentukan tanpa mengambil kira pandangan mereka,” katanya.

Beliau menegaskan keberkesanan sesuatu dasar bergantung kepada sejauh mana pelaksanaannya dapat dirasai di peringkat keluarga, sekolah, pusat komuniti dan kampung.

Justeru, beliau menggalakkan peserta simposium berkongsi pendekatan berkesan, mengenal pasti kelemahan pelaksanaan serta menghasilkan idea praktikal yang boleh disesuaikan dengan keperluan komuniti masing-masing.

Menyentuh perkembangan teknologi digital dan AI, Fatimah berkata, kemajuan tersebut berpotensi mendekatkan perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial kepada keluarga, selain membantu penjaga serta menghubungkan anggota keluarga yang tinggal berjauhan.

Bagaimanapun, katanya, isu jurang akses digital, ancaman dalam talian terhadap kanak-kanak, penyebaran maklumat palsu dan bias teknologi perlu ditangani bagi memastikan tiada golongan tercicir.

“AI boleh memperluaskan akses kepada sokongan kesihatan mental, khususnya bagi mereka yang keberatan mendapatkan bantuan melalui kaedah konvensional.

“Namun, penyelesaian digital tidak boleh menggantikan interaksi manusia, hubungan peribadi atau perkhidmatan penjagaan yang dibiayai secukupnya,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan menghapuskan stigma berkaitan kesihatan mental yang masih menghalang individu daripada mendapatkan bantuan menerusi pendidikan, perbincangan terbuka dan pembentukan komuniti yang prihatin.

Dalam perkembangan berkaitan, Fatimah menyambut baik perancangan National Coalition for Mental Wellbeing (NCMW) untuk memperluaskan advokasi kesihatan mental ke Kuching dan Sarawak, khususnya dalam mempromosikan kesejahteraan mental di tempat kerja.

Menurutnya, tekanan dan keletihan melampau di tempat kerja sering tidak disedari walaupun kebanyakan individu menghabiskan sebahagian besar masa mereka di persekitaran tersebut.

Katanya, tempat kerja yang menggalakkan perbincangan terbuka mengenai kesihatan mental serta memberikan sokongan sewajarnya bukan sahaja membantu pekerja, malah memberi manfaat kepada keluarga mereka.

Beliau turut mengalu-alukan usaha NCMW mendekati pengamal perubatan am bagi memperkukuh peranan mereka sebagai barisan pertama dalam menyediakan sokongan psikososial kepada individu yang memerlukan.

“Doktor keluarga lazimnya menjadi individu pertama yang dirujuk apabila seseorang berasa tidak sihat. Memperlengkapkan pengamal perubatan am dengan keupayaan memberikan respons sewajarnya akan menambah sokongan di peringkat akar umbi, terutama ketika perkhidmatan kesihatan mental khusus masih terhad,” katanya.

Fatimah berkata, Sarawak komited untuk terus bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, sektor swasta dan komuniti dalam meletakkan kesejahteraan keluarga serta masyarakat sebagai keutamaan pembangunan negeri.

Beliau berkata, kekuatan Sarawak terletak pada kepelbagaian masyarakat, nilai komuniti yang berakar umbi serta komitmen terhadap pembangunan inklusif berteraskan rakyat.

Simposium yang berlangsung selama tiga hari itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara CIFA yang diwakili pengerusinya, Patricia Chu dengan NCMW yang diwakili pengerusinya, Siti Subaidah Mustafa bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam memperjuangkan kesejahteraan keluarga.

Penganjuran simposium berkenaan julung kali diadakan di Malaysia dengan Sarawak dipilih sebagai tuan rumah.

BERITA LAIN

Perancis berminat bekerjasama dengan Muzium Budaya Borneo

LAWAS: Muzium Budaya Borneo (BCM) semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Perancis menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan muzium berkenaan dan melibatkan institusi kebudayaan terkemuka negara

BERITA TERBARU

Cadangan Lawas jadi bahagian perlu justifikasi kukuh

LAWAS: Cadangan menaik taraf Lawas sebagai bahagian pentadbiran berasingan akan dikaji terlebih dahulu dengan mengambil kira fungsi pentadbiran Limbang serta kepentingan pembangunan wilayah utara Sarawak