ARTIKEL

Perancis berminat bekerjasama dengan Muzium Budaya Borneo

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LAWAS: Muzium Budaya Borneo (BCM) semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Perancis menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan muzium berkenaan dan melibatkan institusi kebudayaan terkemuka negara itu.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hasrat tersebut dibangkitkan ketika pertemuan Presiden Perancis Emmanuel Macron dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut membincangkan kerjasama antara institusi permuziuman kedua-dua negara.

“Perancis menyatakan bahawa mereka mahu bekerjasama dengan Muzium Budaya Borneo di Sarawak.

“Mengapa bukan muzium lain? Tetapi Perancis telah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan muzium kita,” katanya ketika merasmikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas, di sini, hari ini.

Menurutnya, perkembangan itu membuktikan keunikan warisan budaya Sarawak semakin mendapat perhatian masyarakat antarabangsa, sekali gus membuka peluang kepada kerjasama yang lebih luas dalam bidang kebudayaan dan pemeliharaan warisan.

Abang Johari merasmikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas di Lawas, hari ini.

Terdahulu, ketika lawatan rasmi ke Malaysia pada 17 November, Macron mengumumkan rancangan memperkukuh kerjasama kebudayaan yang melibatkan Muzium Budaya Borneo dengan Musée du quai Branly-Jacques Chirac di Paris.

Kerjasama tersebut turut melibatkan Muzium Louvre dan Muzium Kesenian Islam Malaysia serta dijangka membuka ruang kepada pertukaran pengetahuan dan kepakaran antara institusi berkenaan.

Perkembangan itu sekali gus memperlihatkan potensi Sarawak untuk terus memperkenalkan kekayaan budaya dan warisan masyarakatnya kepada dunia melalui hubungan dengan institusi antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata, Jambatan Bandar Lawas yang mempunyai reka bentuk ikonik menyerupai jambatan di Budapest, Hungary, berpotensi menjadi satu lagi tarikan pelancongan baharu di utara Sarawak.

Jelasnya, keunikan seni bina jambatan berkenaan sudah menarik perhatian pengguna media sosial meskipun kemudahan tersebut belum dirasmikan.

“Saya lihat ramai orang di media sosial suka dengan jambatan kita. Belum rasmi lagi, tetapi di media sosial sudah ramai yang mengatakan betapa cantik reka bentuk jambatan seperti di Budapest ini.

“Justeru, pembangunan infrastruktur yang mempunyai nilai seni bina tersendiri bukan sahaja memberikan kemudahan perhubungan kepada masyarakat, malah mampu menjadi mercu tanda yang menarik kedatangan pengunjung,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Lawas mempunyai kelebihan untuk berkembang sebagai destinasi pelancongan menerusi pembangunan kawasan pesisir Teluk Brunei yang menawarkan potensi besar dalam sektor rekreasi dan perhotelan.

Katanya, antara perancangan jangka panjang ialah pembangunan pelabuhan, hotel bertingkat tinggi serta kemudahan sukan air seperti perahu layar dan jet ski yang boleh menarik lebih ramai pengunjung.

Beliau yakin gabungan pembangunan infrastruktur moden, keunikan budaya dan tarikan pelancongan mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk, sekali gus mengangkat Lawas sebagai antara destinasi penting di utara Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU