ARTIKEL

WAKIL STB bergambar bersama rakan kongsi industri pelancongan dari Taiwan di reruai Sarawak sempena ITF 2026.

Ketibaan pelawat Asia Utara ke Sarawak melonjak 40.3 peratus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pertumbuhan ketibaan pelawat daripada Asia Utara sebanyak 40.3 peratus dan peningkatan 8.3 peratus daripada Taiwan ke Sarawak menjadi petunjuk positif terhadap daya tarikan wilayah ini yang semakin mendapat perhatian pelancong antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Dr Sharzede Salleh Askor berkata, pasaran Asia Utara terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan merekodkan peningkatan ketibaan pelawat sebanyak 40.3 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2026.

Menurutnya, Sarawak menerima seramai 108,816 pelawat daripada Asia Utara dalam tempoh berkenaan berbanding 77,573 orang bagi tempoh sama pada 2025.

KENNY, maskot STB, menyambut pengunjung di reruai pameran khusus Sarawak sempena ITF 2026 di Dewan Pameran Nangang, Taipei.

“Taiwan pula menyumbang sebanyak 10,730 ketibaan pelawat, meningkat 8.3 peratus berbanding 9,908 orang dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Angka berkenaan mencerminkan minat yang semakin menggalakkan terhadap Sarawak, selain mengukuhkan kepentingan untuk mengekalkan kehadiran secara konsisten di pasaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, STB terus memperkukuh kehadirannya di pasaran Taiwan menerusi penyertaan buat kali ketiga berturut-turut dalam Pameran Pelancongan Antarabangsa Taiwan (ITF) 2026 yang berlangsung di Nangang Exhibition Hall, Taipei, pada 6 hingga 9 November lalu.

“Penyertaan berterusan STB dalam ITF mencerminkan komitmen kami untuk mendekati pelancong Taiwan serta memperkukuh hubungan dengan rakan industri pelancongan.

“Selain mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan, kami juga mahu memberi inspirasi kepada lebih ramai pelancong untuk merasai sendiri keistimewaan Bumi Kenyalang, merangkumi warisan budaya yang kaya, keindahan alam semula jadi, pengalaman pengembaraan, sajian kulinari serta pelbagai festival,” ujarnya.

Menurut kenyataan sama, menerusi ITF 2026, STB mengetengahkan kepelbagaian produk pelancongan Sarawak melalui ruang pameran khas yang memberi peluang kepada pengunjung dan wakil industri untuk mengenali dengan lebih dekat tarikan, pengalaman serta pakej pelancongan yang ditawarkan.

STB turut disertai lima rakan kerjasama, iaitu ComeBest Tour Co., Ltd.; China Dragon Travel Service Co., Ltd.; Happy Go Travel Co., Ltd.; Unitravel Services Co., Ltd.; dan Royal Brunei Airlines Taiwan.

“Penglibatan rakan kerjasama ini menyokong usaha promosi destinasi, selain memberi peluang kepada bakal pelancong mendapatkan maklumat mengenai produk pelancongan dan pakej perjalanan ke Sarawak.

“Royal Brunei Airlines turut mengetengahkan kemudahan jaringan penerbangannya yang menghubungkan Taipei, Bandar Seri Begawan dan Kuching, sekali gus meningkatkan akses perjalanan ke Sarawak bagi pelancong daripada Taiwan,” tambahnya.

Selain berinteraksi secara langsung dengan pengunjung, penyertaan dalam pameran itu turut membuka ruang kepada STB dan rakan kerjasamanya untuk menjalin hubungan dengan pemain industri pelancongan Taiwan, memperkukuh kerjasama sedia ada serta meneroka peluang kolaborasi baharu.

Sebagai antara pameran pelancongan utama di Taiwan, ITF terus menjadi platform penting bagi mempromosikan pelbagai destinasi pelancongan antarabangsa kepada masyarakat setempat.

Edisi 2025 pameran itu berjaya menarik kira-kira 370,000 pengunjung, dengan penyertaan lebih 1,600 reruai pameran yang mewakili 123 negara dan bandar raya.

Menerusi penyertaan berterusan dalam ITF, STB berharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat Taiwan terhadap keunikan Sarawak serta menarik lebih ramai pelawat untuk meneroka wilayah ini sebagai “Gerbang ke Borneo”.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Mozo Sport juara Futsal Belia Terbuka 2026

BINTULU: Pasukan Mozo Sport berjaya dinobatkan juara Kejohanan Futsal Belia Terbuka Piala Pusingan Top Eight 2026. Mozo Sport menewaskan Five City X Eshmed Burger 4-3