BELAWAI: Projek menaik taraf Pantai Belawai yang dirancang sejak sekian lama bakal memasuki fasa pelaksanaan apabila ditender tahun depan dan disasarkan siap dalam tempoh tiga setengah tahun.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, perancangan pembangunan kawasan pantai berkenaan sudah melalui proses panjang termasuk penambahbaikan reka bentuk.
Beliau berkata, tempoh panjang diperlukan bagi memastikan perancangan pembangunan pantai itu dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk setempat, malah kepada kawasan tengah Sarawak.
“Insya-Allah, tahun depan projek ini akan ditender dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh tiga setengah tahun.
“Ini menunjukkan pembangunan Pantai Belawai bukan dirancang untuk tempoh singkat, sebaliknya mempunyai perancangan jangka panjang,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Belawai 2026, hari ini.
Menurutnya, usaha membangunkan Pantai Belawai sebagai kawasan tarikan bermula sejak 2014 selepas Premier Sarawak ketika itu mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi pembangunan kawasan berkenaan.
Katanya, pada masa yang sama, kawasan itu turut menerima RM500,000 daripada Kementerian Pelancongan Persekutuan bagi membangunkan kemudahan pentas, memandangkan Pantai Belawai ketika itu masih belum mempunyai kemudahan asas sebagai lokasi tarikan.
“Perancangan membangunkan pantai ini sebenarnya sudah bermula sejak kira-kira 15 tahun lalu dan kita terus berusaha untuk memastikan ia dapat direalisasikan secara berperingkat,” katanya.
Len Talif berkata, pada 2017, Premier Sarawak sekali lagi mengumumkan peruntukan kira-kira RM160 juta bagi menaik taraf Pantai Belawai sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan kawasan itu.


