ARTIKEL

Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn

Roland Sagah: Tiada istilah projek pilihan raya, semua diluluskan lebih awal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADAWAN: Projek menaik taraf Jalan Kampung Peraya/Kampung Stabut bernilai RM3.5 juta bukan gimik menjelang pilihan raya, sebaliknya projek pembangunan yang diluluskan sejak dua tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat, Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn, menegaskan projek berkenaan dirancang lebih awal, namun pelaksanaannya tertangguh akibat proses penyediaan dokumentasi yang mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan.

GKCDA…Sekitar Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Tapak Projek GKCDA/00214 Menaik Taraf Jalan Kampung Peraya/Kampung Stabut di Dewan Kampung Peraya, hari ini.

Menurutnya, projek di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) itu mendapat kelulusan sejak dua tahun lalu, tetapi urusan dokumentasi oleh pihak perunding dan agensi pelaksana hanya dapat diselesaikan pada bulan lalu.

“Projek ini bukan projek sempena pilihan raya, sebaliknya merupakan projek pembangunan yang telah mendapat kelulusan lebih awal.

“Saya telah berkali-kali mengingatkan pihak berkaitan supaya mempercepatkan urusan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Tapak Projek GKCDA/00214 Menaik Taraf Jalan Kampung Peraya/Kampung Stabut di Dewan Kampung Peraya, hari ini.

GKCDA…Sekitar Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Tapak Projek GKCDA/00214 Menaik Taraf Jalan Kampung Peraya/Kampung Stabut di Dewan Kampung Peraya, hari ini.
GKCDA…Sekitar Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Tapak Projek GKCDA/00214 Menaik Taraf Jalan Kampung Peraya/Kampung Stabut di Dewan Kampung Peraya, hari ini.

Roland Sagah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu GKCDA berkata, projek itu bukan membabitkan pembinaan jalan baharu, sebaliknya kerja menaik taraf jalan sedia ada bagi menambah baik kemudahan perhubungan penduduk di kedua-dua kampung berkenaan.

Projek yang dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan, bermula November 2026 hingga November 2027 itu turut disusuli penyerahan Surat Setuju Terima daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada kontraktor yang berjaya pada majlis berkenaan.

Skop kerja merangkumi pelebaran dan penurapan semula jalan kampung menggunakan premix, selain pembaikan serta penambahbaikan sistem perparitan dan pembetung bagi meningkatkan keadaan infrastruktur jalan.

Projek itu turut membabitkan kerja pengukuhan tebing jalan, menaik taraf simpang masuk ke Kampung Peraya serta pembaikan kawasan berhampiran jambatan.

Mengulas lanjut, Roland Sagah berkata, satu atau dua lagi projek jalan raya yang diluluskan sebelum ini dijangka dilaksanakan selepas ini meskipun turut mengalami kelewatan pada peringkat awal.

Sehubungan itu, beliau berharap pelaksanaan projek pembangunan yang diluluskan lebih awal tidak disalah tafsirkan sebagai usaha meraih sokongan menjelang pilihan raya.

Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn

“Saya tegaskan sekali lagi, tiada istilah projek pilihan raya dalam perkara ini. Semua projek berkenaan telah dirancang dan diluluskan lebih awal,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pembangunan ekonomi masyarakat setempat menjadi antara keutamaan dalam perancangan masa depan, seiring dengan usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur asas.

Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk kerjasama dengan Jabatan Pertanian dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) bagi menggalakkan kegiatan pertanian, termasuk penanaman kelapa sawit.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan secara berperingkat bagi membuka peluang ekonomi dan meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.

Bagaimanapun, Roland Sagah menegaskan beliau tidak mahu membuat sebarang janji baharu sempena pilihan raya kerana tindakan itu boleh menimbulkan pelbagai tafsiran.

“Namun, itu tidak bermakna kita tidak mempunyai perancangan pembangunan untuk masa hadapan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Gempa bumi 5.7 magnitud landa Flores, Indonesia

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 melanda rantau Flores, Indonesia pada 12.41 tengah hari ini. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa bumi itu berlaku