ARTIKEL

Abang Mohd. Shibli (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif HIKMAH, Alwi Morshidi (kiri) dan Setiausaha Agung HIKMAH, Raihan Usop ketika sidang media sempena Majlis Perasmian Kompleks HIKMAH baharu di Kompleks HIKMAH, di sini, hari ini.

Kolej Teknologi Tinggi HIKMAH lengkapkan rantaian pendidikan di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penubuhan Kolej Teknologi Tinggi (High-Tech) HIKMAH bakal melengkapkan rantaian pendidikan kendalian organisasi itu di Sarawak sekali gus membuka peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Timbalan Yang Dipertua HIKMAH, Datuk Abang Mohd. Shibli Abang Mohd Nailie berkata, pembangunan kolej berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan organisasi itu untuk mewujudkan ekosistem pendidikan yang lengkap bermula dari peringkat tadika, sekolah rendah dan menengah hingga ke kolej.

Katanya, kolej berkenaan akan memberi tumpuan kepada bidang teknologi maklumat (IT) bagi melengkapkan pendidikan Islam dan kurikulum biasa yang diterima pelajar.

“Kita bukan sahaja memberikan pendidikan Islam dan kurikulum biasa, malah turut mendedahkan pelajar kepada bidang IT supaya mereka mempunyai nilai tambah serta lebih berdaya saing dan mempunyai kebolehpasaran tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Kompleks HIKMAH baharu di Kompleks HIKMAH, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan tapak pembinaan kolej berkenaan sudah dikenal pasti di kawasan Kompleks HIKMAH, dengan tempoh pembangunan termasuk penyediaan kelengkapan dianggarkan mengambil masa kira-kira tiga tahun.

“Reka bentuk kolej berkenaan juga sudah tersedia, namun kos pembinaan masih belum dapat diumumkan. Ketika ini juga, terdapat beberapa perkara teknikal perlu diselesaikan sebelum projek itu dapat diteruskan ke peringkat seterusnya,” ujar beliau.

Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu, pembangunan prasarana pendidikan HIKMAH diharap dapat menyediakan bekalan ilmu pengetahuan yang mencukupi kepada generasi muda bagi menghadapi cabaran kehidupan dan perubahan dunia yang semakin mencabar.

Menurutnya, pendidikan merupakan asas penting dalam melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing, oleh itu penyediaan kemudahan pembelajaran yang lengkap serta kondusif perlu diberi perhatian.

“Kita mungkin tidak mampu menyediakan wang ringgit kepada mereka, tetapi kita mampu menyediakan ilmu pengetahuan sebagai bekalan untuk meneruskan kehidupan.

“Dengan adanya ilmu pengetahuan dan prasarana yang mencukupi serta kondusif, kita berharap dapat melahirkan generasi yang mampu menghadapi pelbagai cabaran masa depan, lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia yang penuh ketidaktentuan,” jelasnya.

Beliau juga berharap kemudahan pendidikan yang dibangunkan HIKMAH dapat terus diperkukuh sekali gus meningkatkan sumbangan organisasi itu kepada masyarakat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU