KUCHING: India sebagai antara kuasa ekonomi utama dunia merupakan rakan strategik yang berpotensi menyokong aspirasi pembangunan Sarawak.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, India memiliki kepakaran luas dalam bidang teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan, perubatan, industri farmaseutikal serta penyelidikan dan inovasi.
“Justeru, kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (H.E.) Somnath Ghosh ke sini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan persahabatan kedua-dua buah negara.
“Pada masa sama, meneroka potensi kerjasama strategik antara Sarawak dengan India, khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan, industri farmaseutikal, pelancongan, teknologi dan inovasi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, beliau menjelaskan bahawa Sarawak yang sekian lama menikmati kestabilan politik, keharmonian sosial serta dikurniakan kekayaan sumber asli kini sedang mengalami pembangunan pesat.
Pembangunan ini melibatkan sektor ekonomi baharu berteraskan tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau, ekonomi digital, hidrogen dan industri berteknologi tinggi.
“Perkembangan tersebut membuka pelbagai peluang kerjasama dan pelaburan strategik yang berpotensi memberikan manfaat bersama kepada Sarawak dan India,” katanya.
Sementara itu, Somnath berkata, kerjasama ini mampu menarik minat penduduk India untuk bekerja dan melabur di Sarawak, termasuk menjadi destinasi pelancongan kepada rakyat negara tersebut.
Katanya, India melihat Sarawak sebagai rakan strategik yang mempunyai potensi besar untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pelancongan, perdagangan, perniagaan, teknologi tinggi dan farmaseutikal.
“Rakyat India boleh bekerja dan melabur di Sarawak, selain pelancong dari India berpeluang mengunjungi negeri ini.
“Mereka juga boleh meneroka peluang pelaburan di taman perindustrian yang sedang dibangunkan serta sektor infrastruktur.
“Kami mahu bekerjasama dengan Sarawak dan berharap dapat menjalin kerjasama dengan pentadbiran serta rakyat negeri ini sepanjang tempoh perkhidmatan saya,” katanya.



